Lporan oleh Pejabat Koordinasi Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA) turut menekankan tentang kepayahan yang dihadapi penduduk Palestin untuk mendapatkan permit yang diperlukan untuk mengelak arahan pemusnahan seperti itu.
Lebih 11,000 perintah perobohan Israel berkaitan dengan anggaran 17,000 struktur Palestin dalam bentuk bangunan atau kemudahan sedang menunggu pelaksanaannya di kawasan luas yang dirampas rejim Zionis di Tebing Barat, jelas laporan PBB itu yang bertajuk Under Threat.
“Arahan perobohan berkenaan tidak akan luput, mengakibatkan ahli keluarga sentiasa terancam.
“Keadaan itu juga menyebabkan penduduk hilang tempat tinggal, sekali gus memburukkan kemiskinan dan meningkatkan kebergantungan kepada bantuan,’’ kata laporan itu.
Laporan OCHA itu memetik data daripada pihak berkuasa Israel berkaitan dengan zon Tebing Barat di bawah kawalan penuh rejim Zionis yang dikenali sebagai Kawasan C dan meliputi 60 peratus wilayah tersebut.
Data itu diperoleh menerusi kebebasan permintaan maklumat.
Kawasan C merupakan satu daerah pentadbiran yang diwujudkan di bawah Perjanjian Oslo pada 1995.
Antara 1988 dan tahun lalu, Israel mengeluarkan lebih 14,000 perintah perobohan terhadap struktur yang dimiliki Palestin yang kini berbaki 11,000 buah struktur.
“Dalam kebanyakan kes, perintah yang sama mensasarkan pelbagai struktur yang dimiliki oleh keluarga yang sama contohnya kediaman, pusat perlindungan haiwan, bilik stor, dan tandas,” kata laporan itu. – AFP