Tuesday 18 August 2015

Pertempuran tercetus di Israel


18 Ogos 2015 1:26 AM





BAITULMAQDIS 17 Ogos – Kumpulan penyokong Arab dan pengkritik Yahudi bertempur berdekatan sebuah hospital yang merawat seorang tahanan Palestin yang me­lancarkan mogok lapar kerana ditahan tanpa dibicarakan oleh Israel.
Pertempuran itu tercetus di bandar Ashkelon, selatan Israel apabila kumpulan penyokong Arab dan Palestin merancang untuk mengadakan bantahan di luar Hospital Barzilai, lokasi tahanan Palestin, Mohammed Allan dirawat.
Bagaimanapun, tindakan mereka dihalang oleh kumpulan Yahudi berhaluan kanan yang mengeluarkan slogan berbaur perkauman selain berharap Mohammed Allan mati kerana melancarkan mogok lapar.
Selain bertempur dengan pihak polis, kedua-dua kumpulan saling melontar batu dan kumpulan Yahudi bertindak melampau apabila memecahkan tingkap beberapa kenderaan milik sebuah syarikat rangkaian televisyen Palestin.
Susulan keganasan tersebut, pihak polis Israel menahan lebih 10 orang penunjuk perasaan Yahudi dan Arab termasuk Palestin dalam kejadian yang berlaku selepas mereka melontarkan batu ke arah anggota keselamatan dan mengganggu ketenteraman awam.
Pihak keselamatan turut meng­halang beberapa buah bas yang dipenuhi penunjuk perasaan daripada memasuki bandar berkenaan bagi mengelakkan pertempuran yang lebih besar.
Selain itu, polis Israel mengasingkan beratus-ratus orang termasuk kumpulan penyokong Arab yang membawa bendera Palestin dengan melaungkan sokongan mereka terhadap Allan dan menggesa rejim Zionis membebaskan mangsa.
Israel menuduh Mohammed Allan menyertai pergerakan Jihad Islam dan menahannya tanpa dibicarakan sejak November tahun lalu.
Lelaki berusia 31 tahun itu kemudiannya melancarkan mogok lapar sejak 18 Jun sebagai membantah tindakan kejam Israel dan dia jatuh koma pada Jumaat lalu sehingga terpaksa dikejarkan ke hospital.
Seorang jurucakap hospital yang enggan dinamakan berkata, Mohammed Allan masih lagi belum sedar, tetapi berada dalam keadaan stabil selepas mendapatkan rawatan selain menggunakan alat sokongan hidup. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/pertempuran-tercetus-di-israel-1.125569#sthash.OhViB0nf.dpuf

No comments:

Post a Comment