18 Ogos 2015 1:25 AM
DHAKA 17 Ogos – Berpantang ajal sebelum maut. Itulah berlaku kepada seorang bayi di Bangladesh yang terkena sebutir peluru sesat ketika masih berada di dalam kandungan ibunya.
Menurut laporan portal Mail Online, ibu bayi itu, Nazma Begum ditembak ketika kandungannya berusia lapan bulan selepas secara tidak sengaja memasuki kawasan konflik antara dua kumpulan militan di Magura, Bangladesh pada 23 Julai lalu.
Susulan kejadian yang mengorbankan seorang pakciknya, Nazma dikejarkan ke Hospital Sadar Magura dan terpaksa melahirkan bayinya yang tidak cukup bulan pada hari sama.
Namun, bayinya yang dikenali sebagai Suraiya terpaksa dipindahkan ke Hospital Kolej Perubatan Dhaka ekoran keadaan kesihatan yang kritikal selain terpaksa menjalani pembedahan selama tiga jam untuk mengeluarkan peluru terbabit yang menembusi bahagian bahu kanan dan mencederakan mata kanannya.
Tetapi ajaibnya, bayi tersebut tidak mengalami kecederaan kekal dan ditempatkan di unit rawatan rapi, sekali gus terpaksa berpisah dengan ibunya buat sementara waktu.
Selepas menjalani proses pemulihan, Nazma akhirnya dapat bertemu dengan Suraiya sekali lagi di Hospital Kolej Perubatan Dhaka, semalam sambil disaksikan oleh ahli keluarga dan staf perubatan.
Pertemuan tersebut berlangsung dalam suasana hiba di hospital terbabit. Mereka yang hadir turut kagum dengan tuah bayi perempuan berkenaan kerana terselamat daripada maut akibat terkena tembakan.
Menurut Nazma, dia berasa gembira kerana dapat bertemu semula dengan anaknya yang tidak lagi perlu dipakaikan kain pembalut.
“Saya akan sentiasa memangku Suraiya pada setiap masa,” katanya sambil ditemani suaminya, Bachchu Buiyan.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/bayi-dalam-rahim-ditembak-1.125566#sthash.VAcw54s4.dpuf
No comments:
Post a Comment