GAZA CITY 4 Julai – Pergerakan Hamas yang menguasai wilayah Gaza menafikan dakwaan menyokong serangan roket yang dilancarkan militan Negara Islam (IS) dari wilayah Sinai, Mesir, ke selatan Israel dan menyifatkan tuduhan itu sebagai propaganda.
Jurucakap Hamas, Sami Abu Zuhri dalam kenyataannya berkata, tuduhan Israel bahawa Hamas membantu militan IS dalam serangan tersebut sebagai tidak berasas dan dakwaan yang bodoh.
Jelasnya, Hamas telah berusaha untuk mengambil langkah meningkatkan kawalan sempadan antara Semenanjung Gaza dan Semenanjung Sinai, sekali gus menjaga ke-selamatan Mesir.
“Tuduhan Israel itu hanya propaganda dan hasutan untuk menjatuhkan Hamas,” katanya.
Semalam, kumpulan sayap militan IS mengaku bertanggungjawab melancarkan tiga serangan roket jenis Grad ke selatan Israel, menyebabkan pendatang haram Yahudi berlindung di tempat perlindungan.
Serangan berkenaan tidak menyebabkan kematian atau kecederaan, tetapi pegawai tentera rejim Zionis, Mejar Jeneral Yoav Mordechai menuduh Hamas menyokong militan IS melancarkan serangan itu dan membantu menyeludup anggota kumpulan pelampau yang cedera ke Gaza.
Bagaimanapun, pemimpin kedua tertinggi Hamas, Mussa Abu Marzuk membidas tuduhan itu dengan menyatakan bahawa ketegangan terbaharu yang dicetuskan militan IS tidak ada kaitan dengan rakyat Palestin atau Mesir.
“Kejadian yang berlaku di Sinai memberi kesan buruk kepada Gaza sejak wilayah Mesir berkenaan dilanda konflik pemberontakan dan ancaman kumpulan pengganas.
“Hamas mahu menjalinkan hubungan yang baik dengan Mesir kerana masa depan rakyat Palestin bergantung kepada mereka,” katanya. – AFP
No comments:
Post a Comment