Nasib belum terbela

Kawasan paling teruk terjejas di Genting Gaza kini menjadi tarikan pelancong sejak bermulanya Ramadan pada pertengahan bulan lalu.

Petugas media dan pekerja bantuan juga tidak melepaskan peluang bersama penduduk di Shujaiya dan Khuzaa untuk berbuka puasa bersama mereka.

Bagaimanapun, jumlah pengunjung yang melawat penduduk Gaza semakin berkurangan selepas beberapa hari.

“Mereka datang dan pergi. Tiada apa yang berubah selepas itu,” kata seorang penduduk, Khaled al-Mahmoum  yang kehilangan 13 ahli keluarga dalam serangan Israel pada Ogos lalu.

Pada 8 Julai tahun lalu, tentera rejim Zionis melancarkan Operasi Perlindungan Sempadan disusuli dengan pencerobohan ke atas Genting Gaza kononnya sebagai respons terhadap insiden penculikan dan pembunuhan tiga remaja Israel.

Pertempuran sengit itu tercetus selama 50 hari dan mengakibatkan kesan kemusnahan yang teruk di wilayah Gaza.

Setahun selepas serangan berdarah itu, nasib kira-kira 1.8 juta penduduk Gaza masih belum terbela. 

Hingga ke hari ini, tidak satu daripada puluhan ribu rumah yang musnah telah dibina semula malah sisa bangunan yang runtuh juga masih belum dibersihkan sepenuhnya.

Selain itu, penduduk Gaza juga berdepan dengan krisis bekalan kuasa elektrik yang mana mereka terpaksa bergelap selama 16 jam pada setiap hari.

Pada Mei lalu, Bank Dunia turut mengumumkan bahawa Genting Gaza mencatatkan kadar pengangguran tertinggi di dunia iaitu sebanyak 43 peratus.

“Selain itu, hanya 27 peratus daripada AS$3.5 bilion (RM13 bilion) yang dijanjikan oleh negara pemberi dana pada Oktober lalu telah disalurkan ke Gaza,” menurut kenyataan bank tersebut lagi.

Dalam satu kenyataan lain, Kementerian Perumahan Gaza memberitahu pemilik kira-kira 90,000 rumah yang musnah sudah menerima bayaran untuk pembinaan semula kediaman mereka. 

Dasar pengasingan dikenakan ke atas Genting Gaza kononnya bertujuan untuk mengusir Hamas yang  menguasai wilayah itu selepas memenangi pilihan raya pada 2006.

Tekanan terus memuncak selepas Israel menuduh Hamas membiayai kumpulan militan di Semenanjung Sinai dan didakwa mendalangi gelombang serangan di Tebing Barat serta Baitulmaqdis.

Sehingga kini, penduduk Gaza telah menempuh tiga peperangan dalam tempoh enam tahun selain berada di bawah kepungan haram Israel serta Mesir selama hampir sedekad.
 
Dedah bukti jenayah perang

Majlis Hak Asasi PBB telah menubuhkan sebuah suruhanjaya siasatan bebas antarabangsa untuk menyiasat pelanggaran undang-undang antarabangsa di Palestin terutamanya di Genting Gaza.

Pada 24 Jun lalu, suruhanjaya itu akhirnya mengeluarkan laporan tersebut.

Keputusan laporan itu menunjukkan Israel dan kumpulan bersenjata Palestin sedikit sebanyak telah melanggar undang-undang antarabangsa dan undang-undang hak asasi manusia serta melakukan jenayah perang.

“Skala kemusnahan di wilayah Gaza adalah belum pernah berlaku sebelum ini,” menurut laporan itu lagi.
 
 
Peta The Gaza Platform

Pertubuhan hak asasi manusia, Amnesty International telah menghasilkan peta interaktif yang memaparkan setiap serangan dilancarkan tentera Israel ke atas Genting Gaza ketika konflik memuncak pada tahun lalu.

Peta The Gaza Platform tersebut yang direka bersama Forensic Architecture itu bertujuan untuk mendedahkan perbuatan pihak bertanggungjawab melakukan jenayah perang dan melanggar undang-undang antarabangsa ketika perang tersebut.

Ia turut merekodkan masa dan lokasi setiap serangan yang berlaku selain mengklasifikasikannya mengikut jenis serangan serta jumlah kematian.

Data tersebut dikumpulkan selama beberapa bulan dan ia juga berdasarkan rekod diperoleh daripada pertubuhan hak asasi berpusat di Gaza, sekali gus membentuk pangkalan data komprehensif yang memaparkan lebih 2,500 serangan dilancarkan tentera Israel.

Pengarah Amnesty di Timur Tengah dan Afrika Utara, Philip Luther berkata, peta The Gaza Platform itu berpotensi mendedahkan pelanggaran sistematik yang dilakukan oleh rejim Zionis.

"Matlamat kami adalah untuk menjadi sumber bernilai kepada penyiasat hak asasi manusia untuk mempamerkan akauntabiliti pihak yang melakukan pencabulan tersebut," katanya.

Dalam satu kenyataan lain, pengarah projek Forensic Architecture, Francesco Sebregondi memberitahu peta terbabit bertujuan untuk memanfaatkan alat digital baharu bagi memberi penerangan jelas terhadap sesuatu insiden seperti perang Gaza.

"Ia memberi gambaran lebih jelas kepada pengguna dengan mendedahkan kaitan antara setiap insiden serangan tersebut," jelasnya.
 
 
Terpaksa solat Tarawih di bawah khemah

Akhbar Turki, Anadolu Agency melaporkan penduduk Gaza terpaksa menunaikan solat sunat Tarawih di khemah didirikan di tapak runtuhan masjid asal yang musnah akibat bedilan rejim Zionis.  

Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Agama Palestin memaklumkan khemah tersebut dijadikan sebagai alternatif selepas kebanyakan masjid musnah dan separa musnah masih tidak dapat dibina semula akibat sekatan haram berterusan Israel.

Sementara itu, bekas perdana menteri, Ismail Haniyeh yang mengimamkan solat Tarawih di kem pelarian al-Shati di barat bandar Gaza menggesa umat Islam supaya bersatu untuk membebaskan Palestin dan negara lain yang ditindas.

Difahamkan, sebanyak 150 masjid musnah manakala kira-kira 67 lagi separa musnah akibat serangan Israel pada tahun lalu.
 
 
Kanak-kanak Gaza alami tekanan emosi

Majoriti kanak-kanak yang tinggal di sekitar Genting Gaza masih menunjukkan tanda mereka mengalami tekanan emosi yang teruk walaupun perang sudah berakhir kira-kira 12 bulan lalu.

Pertubuhan bukan kerajaan antarabangsa, Save the Children mengumumkan bahawa 89 peratus daripada ibu bapa di kawasan paling terjejas mendakwa anak mereka masih trauma dengan peperangan tersebut.

"Hasil tinjauan ke atas 300 keluarga mendapati lebih 70 peratus budak Palestin bimbang perang baharu akan tercetus. Selain itu, lebih 70 peratus kanak-kanak mengalami masalah kencing malam dan mimpi ngeri," menurut laporan itu lagi.

Pengarahnya, Justin Forsyth berkata, ramai kanak-kanak telah mengharungi tiga peperangan sejak tujuh tahun lalu dan dalam beberapa kes ia turut memberi kesan kepada fizikal mereka.

"Pendedahan berulang kepada keganasan dan sokongan kesihatan mental yang terhad telah menghalang golongan tersebut untuk pulih sepenuhnya daripada trauma," jelasnya.