Tindakan PBB itu, sekali gus mengundang kritikan daripada kumpulan hak asasi manusia antarabangsa yang mahu Israel disenaraikan sebagai negara yang mencabul hak asasi kanak-kanak kerana bertanggungjawab terhadap kematian lebih 500 kanak-kanak Palestin ketika melancarkan serangan terhadap pergerakan Hamas.
Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon mengambil keputusan untuk mengecualikan rejim Zionis Israel daripada senarai berkenaan, dan hanya menyuarakan kebimbangan terhadap penderitaan yang ditanggung kanak-kanak Palestin akibat operasi ketenteraan Israel itu.
“Kematian kanak-kanak Palestin yang ramai akibat keganasan Israel pada tahun lalu di Gaza me­rupakan perkara yang tidak boleh diterima dan tidak pernah terjadi.
“Situasi itu mencetuskan kebimbangan terhadap kerjasama Israel untuk mematuhi undang-undang antarabangsa berhubung kemanusiaan, kecuaian tentera dalam melancarkan serangan, dan menghormati undang-undang hak asasi manusia ketika melancarkan operasi ketenteraan,” kata beliau.
Sekurang-kurangnya 561 kanak-kanak Palestin terbunuh dan 4,279 lagi cedera sepanjang 50 hari operasi ketenteraan Israel memerangi Hamas di wilayah Gaza.
Wakil kerajaan Palestin di PBB, Riyad Mansour berkata, kegagalan PBB menyenaraikan Israel sebagai pencabul hak asasi kanak-kanak akan menyebabkan rejim Zionis itu terlepas daripada hukuman, selain meningkatkan penderitaan kanak-kanak Palestin.
Senarai itu bagaimanapun menyenaraikan 51 kumpulan termasuk Boko Haram, al-Qaeda, Taliban dan kumpulan militan Negara Islam (IS), selain tentera Syria, Yemen, Republik Demokratik Congo dan Sudan Selatan.
PBB menyiarkan senarai itu hanya dua bulan selepas satu jawatankuasa siasatan badan dunia tersebut mendapati Israel bertanggungjawab terhadap serangan ke tujuh buah sekolah PBB di Gaza yang digunakan sebagai pusat perlindungan. – AFP