BAITULMAQDIS 24 Jun – Tentera Israel melancarkan serangan udara terhadap kedudukan pejuang Palestin di Genting Gaza awal hari ini, sebagai membalas serangan roket yang didakwa dilepaskan ke arah selatan tanah jajahan rejim Zionis.
Pihak tentera dalam kenyataannya mendakwa, sebuah roket yang dilancarkan dari Gaza jatuh ke kawasan lapang di Yad Mordechai yang terletak di sempadan Israel-Gaza, tetapi tiada kecederaan dilaporkan dalam insiden tersebut.
“Susulan itu, Tentera Pertahanan Israel (IDF) melancarkan serangan udara terhadap kedudukan pelancar roket dan sasaran berjaya dimusnahkan,” tambah kenyataan tersebut.
Kejadian serangan roket berkenaan merupakan yang kelima dalam tempoh kurang sebulan dan kali terakhir roket dilancarkan ke wilayah Israel pada 6 Jun lalu yang kemudiannya dibalas dengan serangan udara di kawasan pesisiran laut Gaza.
Bagaimanapun, tiada kematian atau kecederaan dilaporkan dalam kedua-dua serangan balas itu.
Serangan udara yang dilancarkan Israel turut mencetuskan kebimbangan kemungkinan tercetusnya perang antara pejuang Hamas dan rejim Zionis seperti yang berlaku pada pertengahan tahun lalu, menyaksikan lebih 2,200 orang terbunuh, kebanyakannya penduduk awam Palestin. – AFP
No comments:
Post a Comment