GENEVA - SWITZERLAND . Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia menegaskan rejim Zionis wajar diheret ke muka pengadilan kerana melakukan perlanggaran hak asasi manusia ketika melancarkan Operasi Perlindungan Sempadan pada Julai tahun lalu.
 
Zeid Ra'ad al-Hussein berkata, beliau berharap laporan yang mendedahkan kekejaman Israel ke atas Genting Gaza itu akan membuka jalan untuk mendapatkan keadilan bagi seluruh penduduk Palestin.
 
"Sekatan berterusan dikhuatiri akan melemahkan ekonomi dan sosial penduduk Palestin selain melambatkan proses pembinaan semula wilayah tersebut.
 
"Saya menggesa Tel Aviv supaya menghentikan projek pembinaan penempatan haram dan tidak lagi merobohkan rumah penduduk Palestin di Tebing Barat," katanya ketika membentangkan laporan berhubung konflik tersebut di Geneva, kelmarin.
 
Difahamkan, Majlis Hak Asasi Manusia PBB (HRC) dijangka menerbitkan laporan siasatan berhubung jenayah perang dilakukan oleh rejim Zionis dalam masa terdekat.
 
Hampir 2,200 penduduk Palestin terkorban manakala 11,000 lagi cedera ketika perang 50 hari tersebut.  
 
Sebelum ini, laporan siasatan PBB juga mendapati Israel bertanggungjawab ke atas serangan berdarah di beberapa institusi agensi antarabangsa tersebut yang dijadikan pusat penempatan sementara ketika krisis terbabit sedang memuncak.
 
Dalam satu kenyataan lain, Kementerian Luar Israel sekali lagi mempertahankan tindakan tentera mereka melancarkan operasi tersebut yang disifatkan kononnya sah di sisi undang-undang. - Press TV