Sunday 17 May 2015

PBB kecam rancangan Israel

PBB kecam rancangan Israel

Masyarakat antarabangsa turut mengutuk sekeras-kerasnya projek pembinaan penempatan haram Yahudi di wilayah Palestin.

NEW YORK - AMERIKA SYARIKAT . Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon kelmarin mengutuk sekeras-kerasnya rancangan Israel yang mahu membina unit penempatan haram baharu di wilayah Palestin.
 
Jurucakapnya memaklumkan Ki-moon turut berasa kesal kerana projek itu terus berkembang dengan pesat bagi tempoh tiga minggu berturut-turut di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur walaupun menerima kecaman masyarakat antarabangsa.
 
"Beliau turut mengulangi pendirian bahawa projek penempatan haram Yahudi itu sememangnya melanggar undang-undang antarabangsa. Ki-moon menggesa Tel Aviv supaya menghentikan dan menarik balik rancangan mereka demi keamanan di rantau terbabit.
 
"Masyarakat antarabangsa tidak akan mengiktiraf tindakan unilateral seumpama itu yang bakal memberi kesan kepada rundingan damai bersama Palestin," katanya.
 
Kenyataan tersebut dikeluarkan sehari selepas Kementerian Perumahan Israel mengeluarkan tender baharu berkaitan pembinaan 85 unit kediaman di kawasan terletak kira-kira 5 kilometer dari barat laut Baitulmaqdis Timur dan 1,500 bilik hotel di kejiranan Jabal al-Mokabber.
 
Pada 7 Mei lalu, Tel Aviv turut meluluskan projek pembinaan 900 unit kediaman di Baitulmaqdis Timur yang turut dikritik hebat oleh Kesatuan Eropah (EU). - Press TV

No comments:

Post a Comment