BAITULMAQDIS - Sebuah kumpulan hak asasi Palestin menerbitkan laporan terbaharu mengenai kekejaman Israel yang dilakukan di Tebing Barat, sepanjang bulan lalu.

Laporan disiarkan Pusat Maklumat Wadi Hilweh pada Rabu mendakwa, tentera Israel menembak mati seorang remaja lelaki dan menculik lebih 120 penduduk Palestin di sekitar Baitulmaqdis.

Menurut pertubuhan yang berpangkalan di Silwan itu, remaja terbabit dikenali sebagai Ali Saeed Abu Ghannam berusia 16 tahun, ditembak pada 25 April lalu ketika dia cuba menyeberangi satu sekatan jalan raya di bandar berkenaan.

"Sebaik sahaja membunuh remaja itu, tentera Israel menyimpan mayatnya. Mereka meletakkan syarat dengan cuba memaksa keluarga mangsa membayar denda yang tinggi bagi menuntut mayat remaja berkenaan.

"Israel juga mengehadkan bilangan warga Palestin yang menghadiri upacara pengebumian remaja itu. Namun, syarat berkenaan ditolak keluarga mangsa," katanya.

Laporan sama turut mendedahkan, seramai 14 wanita dan 40 kanak-kanak antara 140 rakyat Palestin yang diculik pasukan keselamatan Israel di Silwan, at-Tour, al-Eesawiyya, Sheikh Jarrah dan Jabal al-Mokabber.

Malah, rejim Zionis bertindak biadab merobohkan dua bangunan kediaman selain menyerahkan notis perobohan kepada beberapa buah keluarga di sekitar Tebing Barat.

Difahamkan, lebih 7,000 warga Palestin dipenjara di Israel manakala, 540 lagi ditahan tanpa sebarang pendakwaan dan perbicaraan. - Press TV