Sebahagian penduduk Palestin di luar ibu pejabat PLO di Ramallah, Tebing Barat, melaungkan slogan solidariti menyokong pelarian Palestin yang terkepung di kem pelarian Yarmuk, Syria, kelmarin. AFP
RAMALLAH 10 April – Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) semalam menolak untuk menyertai operasi ketenteraan bersama tentera Syria bagi memerangi kumpulan militan Negara Islam (IS) yang menawan kem pelarian Yarmuk di luar Damsyik, sekali gus menarik balik kenyataan awal anggotanya yang menyokong operasi tersebut.
IS merampas kawalan hampir keseluruhan kem Yarmuk sejak beberapa hari lalu selepas menewaskan kumpulan militia yang menyokong Presiden Syria, Bashar al-Assad.
“Kami enggan terbabit dalam sebarang kempen bersenjata tanpa mengira apa puncanya dan kami mahu cara lain diambil bagi mengelak pertumpahan darah, selain menghalang lebih banyak kemusnahan dan kehilangan tempat tinggal,’’ kata PLO dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Ramallah.
Terdahulu, anggota jawatankuasa eksekutif yang dihantar ke Damsyik oleh PLO untuk membincangkan krisis tersebut, Ahmad Majdalani berkata, beliau menyokong serangan tentera Syria untuk mengambil balik kawalan kem tersebut.
Kelmarin, sebanyak 14 sayap pergerakan Palestin yang mengadakan pertemuan di Damsyik, menyatakan sokongan untuk menyertai operasi ketenteraan dengan kerajaan Syria bagi memerangi IS.
Dalam pada itu, Setiausaha Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon melahirkan kebimbangan berhubung keselamatan kira-kira 18,000 penduduk Palestin yang masih terperangkap di kem pelarian tersebut.
Beliau menggesa tindakan diambil bagi menghalang pembunuhan penduduk di kem tersebut.
“Kita tidak boleh hanya berdiam diri dan menyaksikan pembunuhan besar-besaran berlaku,’’ katanya di New York. – AFP
No comments:
Post a Comment