Palestin mahu dakwa Israel
Israel bakal berdepan dengan dakwaan melakukan jenayah perang kerana melancarkan beberapa siri serangan ganas di Gaza sebelum ini.
RAMALLAH - PALESTIN. Palestin akan mengemukakan aduan pertama mereka terhadap Israel di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) pada 1 April depan, menurut ahli Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), kelmarin.

Mohammad Shtayyeh memberitahu langkah pertama yang paling penting adalah mendakwa Israel melakukan jenayah perang ketika Perang Gaza pada Julai lalu.

Difahamkan, tindakan itu diambil selepas Palestin menyertai ICC secara rasmi pada 2 Januari lalu dan sebarang proses pendakwaan hanya berkuatkuasa pada awal bulan depan.

Palestin juga berhasrat untuk mendakwa Tel Aviv berhubung dasar penempatan haram mereka yang dibangunkan di atas tanah milik Palestin.

Pada 16 Januari lalu, ICC mengumumkan 'pemeriksaan awal' telah dilakukan terhadap kekejaman yang dilakukan rejim Zionis terhadap penduduk Palestin.

Di bawah undang-undang antarabangsa, kesemua projek penempatan Israel diisytiharkan sebagai tidak sah dan ia juga disifatkan sebagai penghalang utama terhadap usaha damai di rantau tersebut. - Al-Arabiya