Anggota pergerakan Fatah, Mohammed Shtayyeh berkata, satu daripada langkah penting adalah memfailkan kes tersebut kepada ICC pada 1 April ini membabitkan jenayah perang di Gaza pada tahun lalu dan aktiviti penempatan haram Yahudi di bumi Palestin.
Tindakan itu diambil selepas keanggotaan Palestin dalam ICC yang beribu pejabat di The Hague berkuatkuasa pada 1 April ini.
Dengan menjadi anggota ICC, Palestin mempunyai hak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pegawai Israel berhubung dakwaan jenayah perang.
Bagaimanapun tiada maklum balas yang diterima daripada rejim Zionis Israel berhubung tindakan terbaharuu Palestin itu.
Pada Januari lalu, ICC mengumumkan siasatan awal terhadap keganasan Israel sepanjang perang selama 55 hari di wilayah Gaza pada tahun lalu yang menyaksikan lebih 2,200 penduduk Palestin terbunuh.
Dalam perkembangan berasingan, wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Asia Barat, Robert Serry mengkritik masyarakat antarabangsa berhubung kegagalan menyerahkan bantuan bagi membangunkan semula Gaza.
Menurut Serry, situasi di wilayah Gaza semakin meruncing disebabkan banyak lagi larangan terhadap operasi keluar masuk barangan dan penduduk dikuatkuasakan di sempadan Gaza dan Israel.
Jelasnya, keadaan itu bertambah buruk dengan tindakan kerajaan Mesir menutup sempadan di Rafah.
“Hanya sejumlah kecil daripada AS$5.4 bilion (RM19.5 bilion) dana yang dijanjikan semasa sidang kemanusiaan di Kaherah, telah diterima dan situasi ini tidak boleh diterima.
“Saya menggesa semua pemegang dana termasuk pergerakan Palestin, kerajaan Mesir, Israel, masyarakat antarabangsa dan kumpulan penderma untuk mengubah dasar mereka selain melaksanakan strategi ‘Dahulukan Gaza’,” katanya. – AFP