Washingto: Amerika Syarikat berharap kerajaan baru Israel yang akan dibentuk dalam masa dua hingga tiga minggu akan datang akan mengakhiri penjajahan 50 tahun dan seterusnya membolehkan pembentukan sebuah negara Palestin.
Bercakap kepada kumpulan liberal Yahudi J Street, Ketua Turus Rumah Putih Denis McDonough berikrar Amerika Syarikat akan melindungi Israel dan menyelar Perdana Menteri negara itu Benjamin Netanyahu kerana janjinya untuk menghalang negara Palestin ketika berkempen untuk pilihan raya pada 17 Mac lalu.
Netanyahu kini dalam proses membentuk kerajaan campuran baru selepas partinya memenangi kerusi terbanyak dalam pilihan raya berkenaan.
McDonough yang juga antara penasihat paling dipercayai Presiden Barack Obama berkata, keselamatan Israel dalam jangka masa panjang akan terjamin hanya dengan mewujudkan negara Palestin yang merdeka.
“Penjajahan yang sudah berlarutan hampir 50 tahun mesti ditamatkan dan penduduk Palestin mesti diberi hak untuk hidup dan mentadbir secara bebas dalam negara sendiri yang berdaulat.
“Kita semua tahu apa yang sepatutnya dipersetujui kedua-dua pihak. Sempadan Israel dan Palestin yang bebas seharusnya dibuat berdasarkan perjanjian 1967 dengan pertukaran kawasan yang dipersetujui bersama,” katanya kepada anggota J Street, kumpulan Yahudi di Amerika Syarikat yang menentang pemerintahan kerajaan Zionis.
Penduduk Palestin berharap untuk mendiorikan sebuah negara di Tebing Barat, Gaza dan menjadikan timur Baitulmaqdis ibu negara mereka.
Israel menjajah wilayah itu sejak Perang 1967.
Selepas memenangi pilihan raya itu, Netanyahu cuba melupakan kenyataan yang dibuatnya mengenai pembentukan dua negara, sesuatu yang sudah lama diusahakan AS dan dipersetujui masyarakat antarabangsa.
“Kita tidak boleh ketepikan hakikat bahawa dia membuat kenyataan itu,” kata McDonough.
Sementara itu, dalam majlis berasingan jurucakap Jabatan Negara Marie Harf berkata, pentadbiran Obama tidak pasti dengan pendirian Netanyahu kerana pemimpin rejim Zionis itu kerap membuat kenyataan bercanggah.
J Street menyokong pembentukan dua negara dan mengecam Netanyahu yang menolak rancangan itu.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/39105#sthash.W1y9COOu.dpuf
No comments:
Post a Comment