Kanak-kanak Palestin bermain di luar sebuah khemah yang didirikan oleh penduduk Palestin berhampiran rumah mereka yang musnah dalam serangan Israel di kawasan perumahan Abasan di timur Khan Yunis pada 28 Januari lalu. - AFP
WASHINGTON 30 Jan. – Serangan Israel ke atas Gaza menyebabkan penguncupan ekonomi di wilayah itu dan Tebing Barat, buat kali pertama sejak 2006, kata Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), semalam.
Menurut IMF, Tebing Barat berjaya mencatat perkembangan ekonomi pada kadar 4.5 peratus pada tahun lalu, sementara aktiviti ekonomi di Gaza merosot sebanyak 15 peratus, faktor yang didorong oleh perang dan kelewatan pembangunan semula wilayah itu.
Secara keseluruhan, penguncupan itu bersamaan kira-kira satu peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) wilayah tersebut.
“Aktiviti ekonomi menguncup pada 2014 ekoran perang di Gaza pada musim panas lalu dan peningkatan ketegangan politik di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur,” kata IMF.
Selepas satu misi untuk menilai keadaan ekonomi Palestin, IMF meragui proses pemulihan ekonomi di wilayah Palestin itu pada tahun ini ekoran keengganan Israel menyerahkan sebanyak AS$127 juta (RM 461 juta) pembayaran dana cukai yang sepatutnya diberikan kepada Pihak Berkuasa Palestin untuk keperluan import makanan ke Tebing Barat dan Gaza.
“Jumlah itu mewakili kira-kira dua pertiga daripada pendapatan bersih dan amat penting kepada bajet Pihak Berkuasa Palestin serta ekonomi Palestin.
“Pengurangan pembayaran gaji dan pemotongan perbelanjaan awam lain diperlukan kerana penangguhan pembayaran dana cukai ekoran kekangan kewangan semasa, mungkin mengakibatkan pengurangan drastik daripada segi penggunaan dan pelaburan swasta,’’ kata IMF.
Kemelut di Baitulmaqdis dan Gaza juga mengakibatkan peningkatan kadar pengangguran di kedua-dua wilayah itu pada kadar 19 peratus di Tebing Barat dan 41 peratus di Gaza.
Dalam perkembangan berasingan, syarikat elektrik milik Israel, Perbadanan Elektrik Israel (IEC) akan mengurangkan bekalan tenaga elektrik di wilayah Tebing Barat ekoran hutang lebih AS$450 juta (RM1.6 bilion) oleh penduduk Palestin.
“Ekoran jumlah hutang bernilai AS$450 juta (RM1.6 bilion) itu, kami memutuskan bermula hari ini, bekalan elektrik (ke Tebing Barat) akan dipotong bagi setiap satu jam pada waktu pagi dan satu jam lagi pada malam hari,’’ kata wakil syarikat itu. - AFP
No comments:
Post a Comment