BAITULMUQADDIS – Sebuah syarikat pembekal tenaga elektrik Israel akan mengurangkan bekalan tenaga kepada penduduk Palestin di Tebing Barat kerana kegagalan Pihak Berkuasa Palestin (PA) membayar hutang tertunggak lebih AS$450 juta (RM1.6 bilion), kata seorang pegawai kelmarin.
Wilayah Tebing Barat masih dikuasai Israel.
Langkah itu dibuat semasa ketegangan politik antara Israel dan Palestin memuncak yang berpunca daripada tindakan rejim Zionis membekukan pembayaran hasil cukai sebagai membalas dendam tindakan PA menyertai Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
“Berikutan hutang berjumlah hampir AS$459 juta (RM1.7 bilion), kami memutuskan bahawa bermula hari ini (kelmarin), bekalan elektrik ke Tebing Barat akan dipotong selama satu jam setiap pagi dan sejam pada pukul lapan malam,” kata seorang pegawai syarikat Israel Electric Corporation (IEC).
“Langkah ini akan berterusan sehingga pihak PA membayar semua hutangnya,” tambah pegawai tersebut.
Syarikat Palestin yang menyalurkan bekalan elektrik daripada IEC, Jerusalem District Electricity Company (JDECO) mengaku bahawa PA gagal melunaskan hutangnya. Namun, JDECO mengecam langkah Israel itu sebagai hukuman terhadap rakyat Palestin.
“Kami berulang kali memberi amaran tentang kesan buruk daripada tindakan PA tidak melunaskan hutangnya,” kata pengarah JDECO, Hisham Omari.
“Namun, keputusan itu tidak adil dan bertujuan untuk menghukum penduduk Palestin,” kata Hisham.
Setakat ini, belum ada pihak mahu menyatakan sama ada tindakan rejim Zionis itu bermotifkan politik atau sebaliknya.
Namun, media tempatan melaporkan langkah tersebut memerlukan kelulusan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dan pihak berkuasa Israel. – AFP
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0131&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3QLqqyMmr
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment