Thursday, 1 January 2015

Resolusi negara Palestin gagal

Resolusi negara Palestin gagal | Harian Metro: "New York: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu semalam gagal menerima resolusi berhubung sebuah negara Palestin merdeka.

China, Perancis dan Russia antara lapan negara yang menyokong resolusi itu, namun ia gagal mendapatkan sembilan undi yang diperlukan untuk membolehkan ia diterima dalam majlis yang dianggotai 15 negara itu.

Australia dan Amerika Syarikat menentang resolusi itu manakala lima yang lain - termasuk Britain - berkecuali. Argentina, Chad, Chile, Jordan dan Luxembourg turut menyokong resolusi itu, manakala Lithuania, Nigeria, Rwanda dan Korea Selatan mengikut jejak langkah Britain.

Menurut sumber, Nigeria mulanya menyokong resolusi itu, tetapi mengubah pendiriannya pada saat akhir.

Ketetapan yang dirangka oleh Palestin dan disokong negara Arab itu sepatutnya membolehkan negara Palestin diwujudkan dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya.

Ia turut meletakkan had masa 12 bulan untuk Israel mencapai perjanjian keamanan dengan Palestin seterusnya berundur dari wilayahnya menjelang akhir 2017.

Jordan meminta undian dilakukan walaupun ditentang AS yang menganggap resolusi itu tidak merangkumi isu keselamatan Israel selain mendakwa had masa yang ditetapkan dibuat sewenang-wenangnya.

Duta AS Samantha Power memberitahu majlis: “Ia membincangkan keperluan sebelah pihak saja.”

Dia turut mempertahankan pendirian AS supaya perbincangan secara langsung dilakukan kerana memerlukan pilihan yang sukar serta tolak ansur yang hanya boleh diselesaikan di meja rundingan.

Sementara itu, Setiausaha Negara AS John Kerry sebelum ini turut melobi bagi menjelaskan pendirian negaranya kepada 13 menteri luar sejak beberapa hari sebelum undian diadakan."



'via Blog this'

No comments:

Post a Comment