Seorang lelaki Palestin memerhatikan kemusnahan bangunan di penempatan al-Tufah di Gaza City ekoran serangan tentera Zionis Israel pada Julai lalu. – AFP
NEW YORK 22 Jan. – Serangan rejim Israel ke Genting Gaza tahun lalu yang menyaksikan kematian ribuan orang awam, menunjukkan rejim Zionis itu gagal membezakan sasaran antara penduduk biasa dan anggota pejuang Palestin.
Menurut laporan bebas Doktor Untuk Hak Asasi Manusia hasil kajian lapan pakar perubatan, tentera Israel juga tidak memberi amaran dalam tempoh yang cukup bagi membolehkan orang awam keluar menyelamatkan diri daripada kediaman sebelum diserang.
Laporan setebal 237 muka surat itu turut memetik pencabulan undang-undang kemanusiaan dan serangan yang menyebabkan kematian kakitangan perubatan oleh rejim Zionis, sekali gus menyeru supaya siasatan penuh dilakukan berhubung konflik tersebut.
Serangan tentera Israel ke atas Genting Gaza Julai tahun lalu mengorbankan hampir 2,200 orang penduduk Palestin, kebanyakannya orang awam dan 100,000 orang kehilangan tempat tinggal.
Di pihak Israel, seramai 73 orang, kebanyakannya tentera Zionis terkorban dalam konflik itu.
“Dalam beberapa kes, tentera Israel melancarkan dua atau tiga bedilan ke satu sasaran, menyebabkan kematian dalam kalangan penduduk awam dan anggota penyelamat,” jelas laporan itu.
Laporan berkenaan dibuat berdasarkan kunjungan ketika dan selepas pertempuran, temu bual dengan 68 mangsa yang cedera akibat serangan Israel, laporan autopsi 370 mangsa yang terbunuh serta kajian berpuluh-puluh fail perubatan.
Tentera Israel bagaimanapun menuduh laporan itu berat sebelah dan menggunakan data yang salah yang diambil daripada sumber yang berpihak kepada Palestin.
“Pasukan Pertahanan Israel (IDF) menurut undang-undang antarabangsa, sedaya upaya berusaha untuk mengurangkan kemusnahan terhadap orang awam,” kata satu kenyataan IDF. – AFP
No comments:
Post a Comment