Ahli keluarga meratapi kematian tiga kanak-kanak Palestin akibat bedilan tentera Israel di wilayah Gaza pada 21 Ogos lalu. – AGENSI
BAITULMAQDIS 18 Jan. – Israel melobi supaya negara-negara anggota Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) memotong dana yang diperuntukkan kepada tribunal antarabangsa itu yang mula melancarkan siasatan terhadap dakwaan jenayah perang yang dilakukan oleh rejim Zionis tersebut di wilayah Palestin.
Menurut Menteri Luar Israel, Avigdor Lieberman, beliau akan menuntut sekutu rejim Zionis itu iaitu Kanada, Australia dan Jerman untuk menghentikan pemberian dana kepada ICC.
Menurut Lieberman, seperti Amerika Syarikat (AS), Israel tidak menganggotai ICC dan berharap dana tribunal antarabangsa yang diterima daripada 122 negara anggota itu dapat dikurangkan, mengikut keupayaan ekonomi mereka.
“Tribunal tersebut tidak mewakili mana-mana pihak dan ia adalah satu badan politik.
“Pertubuhan ini hanya mempunyai beberapa negara anggota sahaja dan saya berfikir ia tidak sepatutnya wujud,” kata Lieberman.
Sementara itu, seorang lagi pegawai Israel yang enggan dinamakan berkata, tuntutan yang sama diajukan kepada Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe yang merupakan penyumbang terbesar kepada ICC.
Kelmarin, ICC mula melancarkan siasatan secara bebas terhadap dakwaan yang mengaitkan Israel melakukan jenayah perang di Semenanjung Gaza pada perang Julai-Ogos tahun lalu yang menyaksikan lebih 2,000 rakyat Palestin terbunuh.
Musuh kuat Israel, pergerakan Hamas dalam pada itu mengalu-alukan langkah yang diambil ICC dan bersedia untuk menyalurkan maklumat bagi mengukuhkan dakwaan jenayah perang rejim Zionis. – REUTERS
No comments:
Post a Comment