Seorang lelaki Yahudi diberi rawatan oleh pasukan perubatan selepas dia cedera ditikam seorang remaja Palestin di Tel Aviv, semalam. –AFP
BERLIN 21 Jan. – Pegawai tertinggi Hak Asasi Manusia Jerman, menggesa Israel supaya bekerjasama dengan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) berhubung dakwaan jenayah perang di Palestin.
Menurut portal berita Arab News, kerajaan Israel minggu lalu, mengumumkan tidak akan bekerjasama dengan ICC di The Hague dan menggesa dana bantuan tahunan yang diberikan kepada Palestin dipotong.
Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia Jerman, Christoph Straesser dalam satu temu bual semalam berkata, tindakan yang dilakukan Israel adalah tidak produktif.
“Israel telah melancarkan siasatan sendiri dan saya berpendapat Israel perlu kerjasama dengan ICC,” ujar Straesser.
Sementara itu, penduduk Arab Israel, melancarkan bantahan di seluruh wilayah itu, berikutan kematian seorang lelaki keturunan Badwi, minggu ini.
Polis Israel berkata, banyak kedai ditutup dan pihaknya melakukan serbuan di bandar Rahat ketika penduduk menyertai bantahan dan melemparkan batu dan bom ke arah anggota pasukan keselamatan.
Dalam kejadian berasingan di bandar Tel Aviv, seorang remaja Palestin mengamuk dan menikam sekurang-kurangnya 12 penumpang di dalam sebuah bas.
Suspek yang berusia 23 tahun dari bandar Tulkarem, Tebing Barat itu kemudian ditembak oleh seorang pegawai yang melalui kawasan tersebut.
“Polis menahan suspek sebelum dihantar ke hospital dan akan menyiasat kes tersebut,” ujar jurucakap polis, Luba Samri. – AFP/AGENSI
No comments:
Post a Comment