KAHERAH: Mesir akan membuka semula laluan sempadan ke Gaza di pintu Rafah esok buat kali kedua dalam tempoh dua bulan ini bagi membolehkan mereka yang terkandas di Mesir untuk memasuki wilayah Palestin, kata pegawai tempatan.
Laluan di pintu Rafah adalah satu-satunya akses ke Semenanjung Gaza yang tidak dikawal oleh Israel.
Mesir menutup laluan berkenaan pada hujung Oktober berikutan insiden pengeboman di Semenanjung Sinai, namun dibuka semula pada hujung November lalu bagi membenarkan rakyat Palestin yang terperangkap di Mesir kembali ke rumah masing-masing.
Pegawai polis, Ali al-Azazi, berkata operasi sama akan dijalankan esok dan hanya dibuka selama dua hari.
"Mesir akan membuka Rafah pada Ahad dan Isnin bagi membolehkan mereka yang terkandas di Mesir untuk kembali ke Gaza," katanya.
Lebih 3,500 rakyat Palestin terkandas apabila Mesir menutup laluan sempadan ke Gaza selepas serangan berani mati yang membunuh sekurang-kurangnya 30 tentera di Utara Sinai pada 24 Oktober lalu.
Bagaimanapun, tiada maklumat rasmi mengenai mereka yang masih terkandas. - AFP
No comments:
Post a Comment