Liga Arab bakal membentangkan draf resolusi mengenai pembentukan negara Palestin dalam tempoh beberapa hari lagi. – AGENSI
KAHERAH 30 Nov. – Liga Arab bersetuju untuk membentangkan satu draf resolusi kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menetapkan jangka masa bagi pembentukan sebuah negara Palestin.
“Kami tidak boleh tunggu lagi. Kami tidak boleh hidup dengan status quo. Israel hanya mahu kami menjadi sebuah kuasa tanpa wilayah.
“Saya faham tentang risiko terhadap tindakan Majlis Keselamatan, tapi keadaan yang kami akan hadapi lebih berbahaya apabila kami kekal dengan status quo,” kata Presiden Palestin, Mahmoud Abbas yang dilaporkan portal berita Al-Jazeera.
Wartawannya, Nisreen El-Shamayleh melaporkan dari Ramallah di Tebing Barat, penduduk Palestin menjangka resolusi itu perlu berdepan kuasa veto Amerika Syarikat (AS), sekutu utama Israel di PBB.
“Jika AS memutuskan untuk mengambil langkah menghukum pemerintah Palestin, mungkin dengan menyekat bantuan barangan keperluan, tindakan itu tidak akan mampu bertahan bersendirian kerana tetap memerlukan sokongan daripada negara-negara Arab,” katanya.
Kementerian Luar Liga Arab semalam menubuhkan satu jawatankuasa dianggotai Kuwait, Mauritania, Jordan dan Ketua Liga Arab, Nabil al-Araby untuk memulakan kempen mendapatkan sokongan antarabangsa kepada resolusi tersebut.
Kenyataan itu bagaimanapun tidak menyatakan secara khusus bila resolusi tersebut akan dibentangkan, namun sumber diplomatik berkata, Jordan dan negara Liga Arab di dalam Majlis Keselamatan PBB, akan membentang draf berkenaan dalam beberapa hari lagi.
Langkah itu diambil selepas Palestin merangka satu resolusi bagi menyeru supaya ditamatkan pendudukan Israel menjelang November 2016, pandangan yang turut dikongsi oleh negara-negara Arab dan beberapa negara anggota Majlis Keselamatan secara tidak rasmi.
Teks itu belum lagi diedarkan secara rasmi kepada semua 15 negara anggota penuh Majlis Keselamatan.
Draf resolusi itu menggesa ‘pengunduran sepenuhnya Israel dari semua wilayah Palestin yang diduduki sejak 1967, termasuk Baitulmaqdis Timur dengan segera dan dilaksanakan sepenuhnya dalam rangka waktu tidak melebihi November 2016.
No comments:
Post a Comment