ROM 16 Dis. – Israel mula merasa bimbang dengan usaha berterusan Palestin untuk mendapatkan taraf sebagai sebuah negara yang sah, apabila Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu meminta jaminan sekutu kuatnya, Amerika Syarikat agar menghalang hasrat Presiden Palestin, Mahmoud Abbas itu yang turut mendapat sokongan negara Eropah.
Dalam sidang media di ibu negara Itali di sini hari ini, Netanyahu berkata, sokongan Eropah terhadap usul Palestin yang mahu Israel berundur dari wilayah Palestin yang dijajahnya, secara jelas mencetuskan kebimbangan Israel.
Menurutnya, usaha Palestin membawa usul itu ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hanya akan memburukkan keadaan, dan Israel menentang tindakan tersebut.
“Kami berharap AS akan menyokong pendirian Israel bahawa konflik (Israel-Palestin) selama 47 tahun, hanya boleh diselesaikan melalui rundingan damai dan dasar itu tidak boleh diubah,” katanya.
Israel sebelum ini meminta Washington supaya menggunakan kuasa veto bagi menolak usul Palestin berhubung menetapkan tempoh bagi pengunduran Israel dari wilayah Palestin.
Bagaimanapun, Setiausaha Negara AS, John Kerry yang turut berada di Rom, tidak memberi sebarang ulasan berhubung jaminan yang diminta oleh sekutunya itu.
Abbas dijangka mengemukakan usul itu di PBB esok bagi menetapkan November 2016 sebagai tarikh akhir untuk Israel berundur dari wilayah Palestin yang dijajahnya.
Duta Palestin ke PBB, Riyad Mansour berkata, usul itu mungkin akan diundi dalam tempoh 24 jam selepas ia dikemukakan.
Usul itu, bagaimanapun berdepan risiko akan ditolak, jika AS menggunakan kuasa veto.– REUTERS/AFP
No comments:
Post a Comment