Saturday, 29 November 2014

Perancis beri tarikh akhir


SEORANG penduduk Palestin membaling semula balang gas pemedih mata ke arah pasukan keselamatan Israel di bandar Ramallah, Tebing Barat pada 21 September lalu. - AFP


PARIS – Menteri Luar Perancis, Laurent Fabius semalam menggesa masyarakat antarabangsa supaya menyelesaikan konflik Israel-Palestin dalam masa dua tahun, menjelang debat di Parlimen Perancis sama ada untuk mengiktiraf negara Palestin.
“Di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kami berkerjasama dengan rakan-rakan kami untuk melaksanakan resolusi Majlis Keselamatan supaya menghidupkan semula dan memuktamadkan rundingan damai Israel-Palestin,” kata Fabius ketika berucap di Parlimen negara itu.
“Tempoh masa dua tahun adalah antara perkara yang paling kerap di­sebut dan pemerintah Perancis bersetuju dengan jangkamasa tersebut,” tambahnya.
Dalam perkembangan berkaitan, pemimpin Palestin merancang untuk men­yerahkan secara rasmi satu draf resolusi kepada Majlis Keselamatan PBB supaya Israel mengundurkan semua tentera dari wilayah Palestin yang didudukinya pada 2016.
Menurut Fabius, Perancis bersedia untuk menjadi tuan rumah kepada rundingan antarabangsa dalam usaha mencari perdamaian di Asia Barat.
“Pengiktirafan negara Palestin me­rupakan penyelasaian muktamad berhubung krisis di Asia Barat,” katanya.
Beliau tidak menyatakan bila run­dingan tersebut yang turut disebut lewat kelmarin oleh Presiden Perancis, Francois Hollande akan diadakan, atau pihak yang akan menyertainya.
Fabius bagaimanapun berkata, beliau berharap Perancis dapat membawa semua pihak yang terlibat dalam konflik berkenaan termasuk Kesatuan Eropah, Liga Arab dan semua ahli tetap Majlis Keselamatan PBB.
“Jika rundingan damai ini gagal atau percubaan untuk mencari penyelesaian tidak berhasil, Perancis akan melaksanakan tanggungjawab untuk mengiktiraf negara Palestin dan kami bersedia melakukannya,” ujar menteri luar berkenaan.
Terdahulu semalam, anggota Parlimen Perancis mengadakan debat selama dua jam berhubung usul meng­iktiraf negara Palestin secara simbolik. Usul berkenaan akan diundi Selasa ini dan dijangka akan diluluskan.
Pengundian tersebut berlaku selepas satu resolusi serupa diluluskan oleh anggota Parlimen Britain pada 13 Oktober lalu, wakil rakyat Sepanyol pada 18 November lepas dan pengiktirafan rasmi oleh Sweden pada 30 Oktober lepas. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1129&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3KP2fVIac 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment