Thursday, 16 October 2014

Polis Israel tangkap penduduk Palestin di Masjid Al-Aqsa


POLIS Israel menangkap seorang penduduk Palestin ketika penunjuk perasaan Palestin bertempur dengan polis Israel di pekarangan Masjid Al-Aqsa, Baitulmuqaddis semalam.



BAITULMUQADDIS – Penduduk Palestin bertempur dengan polis Israel di sini semalam selepas pihak berkuasa mengehadkan kemasukan orang Islam ke pekarangan Masjid Al-Aqsa, kata polis rejim Zionis.
Jurucakap polis, Luba Samri berkata, empat penduduk Palestin ditangkap manakala tiga anggota polis Israel cedera dalam konfrontasi tersebut.
Polis menggunakan grenad renjatan bagi menyuraikan 400 orang yang berhimpun dekat pintu masuk masjid berkenaan, menurut seorang jurugambar agensi berita AFP.
Pihak berkuasa Israel hanya membenarkan warga Palestin berusia lebih 50 tahun memasuki pekarangan Masjid Al-Aqsa. Perintah itu dikuatkuasakan untuk kali kedua sejak seminggu lalu.
Pada Isnin lalu, penduduk Palestin bertempur dengan polis Israel selepas waktu subuh kerana berang orang Yahudi diberi kebenaran untuk memasuki pekarangan tersebut.
Masjid Al-Aqsa merupakan tempat ketiga paling suci untuk orang Islam.
Lokasi itu yang menempatkan Masjid Kubah Emas dan Masjid Al-Aqsa kerap mencetuskan situasi tegang antara penduduk Palestin dan pihak berkuasa Israel.
Pekarangan masjid itu juga didakwa menempatkan kuil Yahudi dan dianggap tempat paling suci bangsa Yahudi.
Kunjungan orang bukan Islam ke pekarangan Masjid Al-Aqsa dibenarkan dan diselaraskan oleh polis Israel tetapi orang Yahudi dilarang beribadat di tempat itu kerana bimbang boleh mencetuskan kemarahan umat Islam.
Mereka sebaliknya beribadat di bahagian bawah pekarangan masjid tersebut yang dikenali sebagai Tembok Barat.
Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Keselamatan Awam Israel, Yitzhak Aharonovitch kelmarin mengugut untuk menutup keseluruhan pekarangan Masjid Al-Aqsa jika orang Islam dan bangsa Yahudi tidak dapat beribadat secara aman.
“Kami mahu pekarangan Masjid Al-Aqsa dibuka untuk orang Islam dan Yahudi tetapi jika bangsa Yahudi tidak dapat memasukinya, orang Islam juga tidak akan dapat memasukinya,” kata Aharonovitch. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1016&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3GGDygpZe 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment