Thursday 16 October 2014

Kemusnahan sekolah PBB di Gaza disiasat

Ban Ki-moon
GAZA CITY 15 Okt. - Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon semalam menuntut satu siasatan bebas diadakan berhubung serangan Israel ke atas sekolah-sekolah yang dibedil tentera Zionis semasa konflik di Gaza baru-baru ini.
Ketua badan dunia itu nyata terkejut akibat kesan kemusnahan tersebut dalam lawatannya ke wilayah Palestin berkenaan, dua hari selepas negara-negara penderma berikrar menyumbang sebanyak AS$5.4 bilion (RM17.6 bilion) bagi membangunkan semula Gaza.
"Apa yang saya saksikan pada hari ini tidak boleh saya dapati dalam laporan atau taklimat Majlis Keselamatan (PBB)," katanya selepas dibawa melawat bandar Shejaiya dan kem pelarian Jabaliya yang musnah teruk akibat perang antara Hamas dan Israel yang berlanjutan antara Julai hingga Ogos lalu.
Beliau berkata demikian semasa melawat sekolah PBB di Jabaliya yang menyaksikan dua buah kelas di situ dibedil kereta kebal Israel pada 30 Jun lalu dengan membunuh sekurang-kurangnya 14 orang yang mendapatkan perlindungan di situ.
"Pengeboman sekolah PBB sememangnya tidak boleh diterima. Serangan itu mesti disiasat secara bebas,'' kata Ki-moon.
Waris mereka yang terkorban dalam serangan itu dilihat memegang sepanduk yang menunjukkan gambar ahli keluarga mereka, manakala mereka yang cedera menunggu untuk bertemu ketua badan dunia itu.
Ki-moon pada masa sama meminta Hamas untuk menghentikan serangan roket ke atas wilayah Israel.
"Saya ulangi di sini, di Gaza, serangan roket oleh Hamas dan kumpulan-kumpulan lain mesti dihentikan. Serangan itu tidak membawa makna melainkan penderitaan.'' katanya.
Ki-moon berkata, kemusnahan yang dialami Palestin kali ini lebih teruk berbanding konflik sebelum ini yang berlaku pada musim sejuk antara tahun 2008 dan 2009.
Beliau menambah, bantuan masyarakat antarabangsa untuk membangunkan semula Gaza amat menggalakkan dengan Qatar muncul sebagai penyumbang terbesar AS$1 bilion (RM3.2 bilion); AS$212 juta (RM691 juta) dari Amerika Syarikat dan 450 juta euro (RM1.8 bilion) dari Kesatuan Eropah (EU). - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20141016/lu_02/Kemusnahan-sekolah-PBB-di-Gaza-disiasat#ixzz3GG8i1vF2

© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment