Israel bakal berdepan dakwaan melakukan jenayah perang susulan daripada Operasi Perlindungan Sempadan pada 8 Julai lalu. |
Duta Palestin ke PBB, Riyad Mansour berkata, Pihak Berkuasa Palestin (PA) telah mengemukakan tuntutan kepada agensi antarabangsa tersebut supaya memberi tekanan kepada Israel agar mematuhi rangka masa ditetapkan.
"Kami berharap Majlis Keselamatan PBB dapat mengeluarkan draf resolusi yang membawa kepada pengunduran Israel dari wilayah Palestin termasuk Tebing Barat, Genting Gaza dan Baitulmaqdis Timur menjelang November 2016.
"Jika mereka gagal berbuat demikian, kami tidak akan teragak-agak mengambil langkah menyertai ICC untuk mendapatkan pengadilan sewajarnya," katanya dipetik Press TV
Menurutnya lagi, Palestin tidak akan berputus asa kerana objektif utama mereka adalah mencari cara yang paling efektif untuk menamatkan pendudukan Israel bagi mendapatkan kemerdekaan.
Pada 29 November 2012, Palestin diiktiraf sebagai negara pemerhati bukan anggota PBB yang membolehkan mereka mengemukakan tindakan undang-undang ke atas Israel atas dakwaan melakukan jenayah perang di ICC.
Sehingga kini, Tel Aviv masih enggan mematuhi perjanjian garis sempadan 1967 dan terus berdolak-dalik dalam setiap rundingan damai bersama Palestin.
No comments:
Post a Comment