Stefan Lovfen
Stefan Lovfen
NEW YORK - AMERIKA SYARIKAT. Amerika Syarikat (AS) menyifatkan masih terlalu awal untuk mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara, selepas Sweden merancang untuk mengambil bahagian dalam menyelesaikan konflik Israel-Palestin.

Menurut jurucakap Jabatan Negara AS, Jen Psaki , tindakan Sweden itu dilihat sebagai tidak matang. Malah memberitahu, AS hanya memberi sokongan kepada Palestin melalui hasil rundingan, resolusi isu-isu akhir dan pengiktirafan bersama oleh kedua-dua pihak.

Dalam pada itu, Perhimpunan Agung PBB telahpun meluluskan untuk memberi pengiktirafan kepada Palestin pada tahun 2010, namun kebanyakan negara Kesatuan Eropah (EU) masih belum memberi pengiktirafan rasmi.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Sweden, Stefan Lofven mengumumkan Sweden sebagai negara Eropah pertama yang mengiktiraf Palestin, baru-baru ini.

“Konflik Israel-Palestin boleh diselesaikan menerusi pengiktirafan bersama untuk mewujudkan keamanan,” katanya dalam ucapan di parlimen negara itu.

Sementara itu, langkah yang dibuat oleh Sweden dengan reputasi baik dalam hal ehwal antarabangsa dan mempunyai pengaruh kepada dasar luar EU, memberi harapan baru kepada rakyat Palestin.

Dewan Persefahaman Arab-British (Caabu) dalam satu kenyataan memberitahu, Britain telah menerima prinsip kenegaraan Palestin, malah negara tersebut telah lulus kesemua ujian untuk membentuk sebuah negara.

Oleh itu, tindakan terakhir adalah dengan memberi pengiktirafan kepada Palestin dan menyokong rakyatnya untuk menentukan nasib mereka.

Selain itu, Caabu turut menggesa UK dan negara-negara EU lain untuk mencontohi langkah yang dibuat oleh Sweden.

“Tindakan tersebut mampu memberi mesej yang kuat kepada Israel dan gerakan-gerakan antiPalestin yang lain sebagai simbolik menyokong kebebasan ke atas negara Palestin,” kata Pengarah Caabu, Chris Doyle dalam satu kenyataan.

Rakyat Palestin mahukan negara mereka diiktiraf dalam wilayah Tebing Barat dan Gaza dengan ibu kota di timur Baitulmuqaddis.

Walaupun sempadan Gaza telah ditakrifkan dengan jelas, namun wilayah yang tepat untuk menentukan sempadan Palestin di Tebing Barat dan timur Baitulmuqaddis hanya boleh ditentukan menerusi rundingan dengan Israel.