Friday, 3 October 2014

Israel perlu berundur sebelum November 2016


NEW YORK 2 Okt. - Palestin mengemukakan draf resolusi kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengakhiri pencerobohan Israel yang menyarankan ia perlu dilaksanakan sebelum November 2016.
Sumber diplomat PBB berkata, draf berkenaan turut disokong secara tidak rasmi oleh semua negara Arab dan beberapa negara anggota Majlis Keselamatan.
Menurut sumber itu, draf resolusi itu tidak dikemukakan kepada semua negara anggota Majlis Keselamatan, langkah yang hanya perlu dilakukan oleh satu sahaja negara anggota.
"Ekoran itu, Majlis Keselamatan PBB masih belum pasti bilakah usul berkenaan akan diundi untuk menentukan sama ada resolusi tersebut akan dikuatkuasakan atau tidak.
"Palestin melalui draf tersebut menggesa pengunduran Israel dari semua wilayah Palestin yang dijajah rejim Zionis itu sejak 1967 termasuk Timur Baitulmaqdis dengan segera dan tidak melebihi tempoh November 2016 yang ditetapkan," kata sumber itu.
Menurut laporan Reuters, draf tersebut berkemungkinan besar akan menrima tentangan daripada negara kuasa veto dan negara anggota tetap Majlis Keselamatan, Amerika Syarikat (AS) yang juga sekutu kuat Israel.
Duta AS ke PBB, Samantha Power berkata, Washington buat masa ini memantau pelan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas untuk memastikan resolusi tersebut mendapat sokongan daripada negara anggota Majlis Keselamatan yang lain.
"Kami percaya, satu-satunya cara untuk menyelesaikan konflik di Asia Barat itu hanyalah melalui rundingan antara kedua-dua pihak iaitu Israel dan Palestin," katanya.
Israel menerima idea 'penyelesaian pembentukan dua negara' bagi mewujudkan negara Palestin yang bebas dan demokratik tetapi menolak penetapan sempadan 1967 sebagai penyelesaian muktamad. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20141003/lu_05/Israel-perlu-berundur-sebelum-November-2016#ixzz3F1kfPWZ2
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment