WASHINGTON – Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) kelmarin secara terbuka mengecam rancangan Israel membina sebuah penempatan haram Yahudi di timur Bailtulmuqaddis.
Jurucakap Obama, Josh Earnest berkata, rancangan tersebut bakal menyebabkan sekutu paling rapat Israel semakin menjauhkan diri dan menimbulkan persoalan berhubung komitmen untuk berdamai dengan Palestin.
Kenyataan itu dikeluarkan beberapa jam selepas Obama dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu bertemu di White House.
Kata Earnest, Obama secara peribadi menyatakan kebimbangannya kepada Netanyahu walaupun kedua-dua pemimpin tersebut tidak memberi sebarang komen kepada wartawan selepas pertemuan itu.
“Pembangunan ini hanya menyebabkan kecaman daripada komuniti antarabangsa. Ia juga menimbulkan persoalan berhubung komitmen Israel dalam rundingan damai mengenai penempatan semula penduduk dengan Palestin,” katanya.
Projek pembinaan 2,500 buah rumah itu menjadi pertikaian kerana bakal melengkapan satu kawasan penempatan haram Yahudi di satu lokasi yang memisahkan Bailtulmuqaddis dengan Baitulaham.
AS mengkritik projek penempatan haram Israel di timur Bailtulmuqaddis kerana bimbang memberi kesan terhadap rundingan damai dengan Palestin.
White House juga mengecam pendatang haram Yahudi yang merampas beberapa rumah penduduk Palestin di Silwan di timur Bailtulmuqaddis baru-baru ini. – AP
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1003&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3F1qro8Wu
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment