Wednesday, 17 September 2014

Tragedi pembunuhan Sabra, Shatila bukti kekejaman Israel


Selepas 32 tahun, tragedi pembunuhan beramai-ramai pelarian Palestin dan penduduk Lebanon di kem pelarian Sabra dan Shatila di barat Beirut, Lebanon pada 16 hingga 18 September 1982, masih dianggap sebagai pembunuhan kejam terburuk didalangi Israel dan anggota militia parti Kristian Lebanon, Phalange.
Hanya dalam tempoh 43 jam, lebih 3,500 penduduk Palestin dan Lebanon dibunuh dengan kejam tanpa mengira usia termasuk bayi, kanak-kanak, wanita dan warga emas.
Bagaimanapun, jumlah kematian dikatakan jauh lebih tinggi sehingga mencecah 8,000 orang termasuk mangsa yang dilaporkan 'hilang'.
Penghapusan bangsa terburuk semasa Perang Saudara Lebanon 1982 itu tercetus kononnya sebagai membalas dendam pembunuhan pemimpin Parti Phalange, Bashir Gemayel yang didakwa dilakukan oleh pejuang Palestin yang bersembunyi di dua buah kem tersebut.
Individu yang mendalangi kekejaman terhadap mangsa tidak berdosa itu ialah Menteri Pertahanan Israel ketika itu iaitu Ariel Sharon.
Oleh sebab itu, semasa Sharon mati pada awal tahun ini selepas koma selama lapan tahun, tiada air mata mengalir di tapak pembunuhan Sabra dan Shatila.
Malah, seorang penduduk Lebanon bernama Youssef Hamzeh, 67, yang menyaksikan kekejaman tentera Israel di Sabra dan Shatila berkata, pemimpin Israel itu sepatutnya dibawa ke muka pengadilan kerana melakukan pembunuhan terkutuk tersebut.
"Sebagai saksi kepada apa yang dia lakukan dan apa yang saya lalui kerana dia, berambuslah Sharon ke neraka dan pihak-pihak yang masih melakukan pembunuhan besaran-besaran dalam kepemimpinan Israel," katanya.
Malah, sehingga kini rejim Zionis masih lagi memakai 'topeng lamanya' apabila terus melancarkan serangan tidak berperikemanusiaan terhadap penduduk Palestin terutamanya pada bulan Ramadan.
Serangan udara rejim Zionis selama 50 hari baru-baru ini misalnya, mengakibatkan korban lebih 2,100 orang termasuk 469 bayi dan kanak-kanak, manakala lebih 1,000 daripada golongan itu turut mengalami kecederaan kekal.
Kesan kemusnahan yang disebabkan tentera Israel turut memerlukan sejumlah 7.8 bilion (RM24.7 bilion) untuk membangunkan semula Gaza yang mengalami kerosakan teruk akibat serangan selama tujuh minggu, yang menyaksikan kesemua kawasan kediaman dan infrastruktur ranap sama sekali.
Siapa pun yang memerintah Israel, dari David Ben-Gurion sehinggalah Benjamin Netanyahu, agendanya tetap sama iaitu mahu mengusir serta menghapuskan penduduk Palestin.
Youssef malah berkata, kematian Sharon pun masih tidak dapat membalas kehilangan ribuan nyawa di Sabra dan Shatila.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140917/lu_11/Tragedi-pembunuhan-Sabra-Shatila-bukti-kekejaman-Israel#ixzz3DWQCyBq6
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment