Wednesday 17 September 2014

Aman Palestin rayu bantuan RM64 juta pulih Gaza


KUALA LUMPUR: Aman Palestin memerlukan kira-kira RM64 juta bagi menampung keperluan untuk membangunkan semula Gaza yang mengalami banyak kemusnahan selepas serangan tentera zionis Israel.
Ia bagi memulihkan kemusnahan kediaman, menyalurkan bantuan perubatan, makanan dan pakaian serta memulihkan kawasan pertanian di utara Gaza yang teruk terjejas akibat dibom, baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin Berhad, Omar Seyam, berkata tempoh kerja pembersihan dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya dua tahun bagi memindahkan kira-kira dua juta tan sisa kemusnahan bangunan.

"Dalam masa terdekat, Aman Palestin sedang berusaha mengembalikan kanak-kanak ke sekolah menerusi sumbangan peralatan dan pakaian seragam sekolah.

"Pemberian ini dapat menceria dan mengembalikan semula senyuman kanak-kanak sekolah yang menjadi mangsa kekejaman Israel," katanya yang ditemui ketika mengunjungi Balai Berita di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengarang Kumpulan BH, Badrulhisham Othman, Pengarang Eksekutif Mingguan/BH2, Zainor Said, Koordinator Media Aman Palestin Bhd, Hamza Deirawi dan Ahli Lembaga Pertubuhan Al-Salamah bagi Orang Kelainan Upaya (OKU), Dr Saleh Elhams.

Omar berkata, Malaysia antara tiga negara yang menyalurkan bantuan secara rasmi kepada penduduk Gaza bersama Qatar dan Turki.
Beliau berkata, projek lain adalah membina semula dua masjid yang musnah iaitu Masjid Al-Qassam di Khuza'a yang bernilai RM2.2 juta dan Masjid Imam Shafie di Bandaraya Gaza yang bernilai RM6.2 juta.

No comments:

Post a Comment