JEDDAH 28 Sept. - Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mahu pemimpin dan tentera Israel diheret ke muka pengadilan dan dikenakan hukuman atas kesalahan melakukan jenayah kemanusiaan, merujuk kepada keganasan rejim Zionis Israel terhadap penduduk Palestin.
Portal berita Press TV yang memetik kenyataan Setiausaha Agung OIC, Jeneral Iyad Ameen Madani sebagai berkata, terdapat bukti kukuh menunjukkan Israel sebagai rejim apartied yang patut dihukum oleh pihak antarabangsa kerana menzalimi penduduk Palestin sejak berpuluh-puluh tahun lalu.
Jelasnya, OIC sedang berbincang perkara itu dengan kerajaan Palestin untuk menyokong usaha Palestin untuk mendapatkan keanggotaan penuh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
"Kami juga menyokong usaha Presiden Palestin, Mahmoud Abbas untuk meminta Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menguatkuasakan tarikh akhir bagi Israel untuk berundur dari wilayah Palestin," tambah kenyataan itu.
Iyad berkata demikian sehari selepas Abbas mengecam rejim Zionis Israel kerana melakukan jenayah perang di Genting Gaza ekoran operasi ketenteraan rejim Zionis itu selama 53 hari, baru-baru ini.
Dalam operasi itu, lebih 2,130 penduduk Palestin terkorban dan kira-kira 11,000 lagi cedera, dan Abbas berkata, seluruh dunia telah menyaksikan secara jelas kekejaman yang dilakukan oleh Israel di Gaza.
Awal minggu ini, Abbas menyatakan rancangan kerajaannya untuk memohon keanggotaan dalam institusi dan agensi antarabangsa termasuk ICC sebagai membuka ruang bagi mendesak pihak antarabangsa menyiasat jenayah perang yang dilakukan oleh Israel.
"Penduduk Palestin juga mahu keadilan dikemukakan bagi menangani isu pembinaan penempatan haram Yahudi yang masih berterusan di wilayah Palestin yang dijajah Israel," katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140929/lu_03/Pemimpin-Israel-perlu-dihukum#ixzz3EeHFNc3O
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment