GENTING GAZA - PALESTIN. Israel, kelmarin didakwa melakukan pencerobohan terbaharu di selatan wilayah Gaza sejak gencatan senjata dikuatkuasakan pada 26 Ogos lalu.

Menurut saksi, sebanyak tujuh jentolak dilihat berada di utara Khan Younis sebelum ia meninggalkan kawasan tersebut.

"Ia adalah pencerobohan kali kedua dalam tempoh lebih dua minggu lalu," katanya.

Dalam perkembangan lain, banyak pihak mula menyuarakan kebimbangan jika konflik tercetus kembali di wilayah tersebut susulan daripada kematian seorang tahanan Palestin di Israel.

Ketua Jawatankuasa Tahanan Palestin, Issa Qaraqe memberitahu keputusan autopsi menunjukkan kematian Raed Abdel Salam al-Jaabari berpunca daripada pendarahan dalaman akibat hentakan kuat pada kepalanya.

Laporan itu didedahkan selepas rejim Zionis mendakwa kononnya Raed membunuh diri ketika ditempatkan di penjara Eshel, selatan Beersheva.

Susulan daripada itu, ribuan tahanan Palestin nekad menyertai mogok lapar sebagai bantahan terhadap kekejaman pihak berkuasa Israel kerana menyebabkan kematian saudara mereka, laporan dipetik dari MEM.