RAMALLAH - PALESTIN. Hamas mencabar Pihak Berkuasa Palestin supaya mengheret Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Timbalan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh menggesa Presiden Pihak Berkuasa Palestin yang juga dari gerakan Fatah, Mahmoud Abbas supaya menandatangani Statut Rom bagi membolehkan Israel di dakwa terhadap kesalahan jenayah perang.

Ismail berkata, desakan itu juga datangnya dari penduduk Palestin selepas rejim Zionis melakukan kekejaman terhadap mereka di Genting Gaza dan Tebing Barat selama ini.

Statut Rom adalah perjanjian ditubuhkan ICC dan diterima pakai pada sidang diplomatik di Rom pada 1998.

Mahmoud kini dilihat tertekan dengan desakan Hamas selepas merela dikatakan menuntut satu demi satu hak yang tidak sejajar dengan rundingan gencatan senjata antara Palestin dan Israel.

Dalam perkembangan lain, kerajaan perpaduan Palestin mempelawa 80 negara menghadiri mesyuarat Majlis Ekonomi dan Sosial Liga Arab bagi membincangkan pembinaan semula Gaza pada 12 Oktober ini.

Timbalan Perdana Menteri Palestin, Mohammad Mustafa berkata, kerajaannya telah mengemukakan satu pelan strategik untuk pembinaan semula Gaza kepada tiga peringkat dalam tempoh lima tahun akan datang. - EM