Tuesday 16 September 2014

43 anggota unit risikan Israel enggan teruskan khidmat


TEL AVIV 15 Sept. - Israel menerima tamparan terbaru selepas dimalukan di Gaza pada bulan lalu apabila 43 anggota veteran unit risikannya enggan terlibat dalam aktiviti perisikan yang disifatkan sebagai tidak adil ke atas berjuta-juta penduduk Palestin.
Kesemua anggota unit risikan 8200 itu mengadakan perarakan ke bangunan Kementerian Pertahanan pada minggu lalu untuk menyerahkan surat terbuka kepada barisan kepemimpinan tentera dan politik bagi menyuarakan rasa tidak puas hati mereka berhubung isu berkenaan.
Dalam surat berkenaan yang ditandatangani oleh bekas dan tentera simpanan, mereka menyebut, maklumat risikan yang dikumpul oleh unit terbabit merupakan sebahagian rancangan sulit pencerobohan tentera Israel dan mereka enggan meneruskan tugas tersebut.
Jelas mereka, maklumat yang dikumpul oleh Unit 8200 digunakan oleh agensi perisikan awam untuk memaksa penduduk Palestin agar tidak terlibat dalam aktiviti bersenjata dan mendesak anggota unit perisikan yang lain mendedahkan tentang ketidakadilan selain mengambil tindakan ke atas pihak terbabit.
Unit 8200 menjalankan tugas pemantauan alatan elektronik dan risikan, sama seperti tugas yang dilakukan oleh Agensi Keselamatan Kebangsaan (NSA) Amerika Syarikat (AS) dan GCHQ Britain.
Keengganan 43 anggota veteran yang terlibat dalam aktiviti risikan turut menerima kritikan daripada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang menyifatkan tindakan itu sebagai 'terkutuk' dan 'tidak berasas'.
"Tindakan kesemua anggota terlibat untuk tidak meneruskan khidmat dalam tentera tidak boleh diterima," katanya pada satu sidang media keselamatan siber di Tel Aviv.
Menteri Pertahanan, Moshe Yaalon juga menyifatkan tindakan berkenaan sebagai 'bodoh dan cubaan yang menjelikkan' untuk menjejaskan operasi unit penting Israel itu.
Sementara itu, satu surat balas yang dihantar oleh 200 anggota veteran unit yang sama, mengutuk tindakan rakan setugas mereka yang enggan berbakti kepada Israel.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140916/lu_02/43-anggota-unit-risikan-Israel-enggan-teruskan-khidmat#ixzz3DQXn61ky
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment