Wednesday, 16 July 2014

Israel cabuli gencatan senjata


SEBAHAGIAN kanak-kanak Palestin, berehat di sebuah sekolah kendalian PBB untuk berlindung daripada serangan tentera Israel di kem pelarian Jabaliya, Genting Gaza, semalam. - AFP
GAZA CITY 15 Julai - Hanya beberapa jam selepas mempersetujui gencatan senjata, Israel sekali lagi mencabul perjanjian itu apabila melancarkan dua serangan udara ke Genting Gaza hari ini.
Perkara itu turut disahkan oleh jurucakap tentera Israel, Leftenan Kolonel Peter Lerner.
"Tentera Israel melancarkan bedilan ke Gaza pada pukul 3 petang ini (waktu tempatan)," katanya.
Terdahulu, pergerakan Hamas dan sayap bersenjatanya, Briged al-Qassam menolak cadangan gencatan senjata yang dicadangkan Mesir selepas sangsi dengan keputusan Israel melaksanakan rancangan tersebut, ketika angka korban akibat konflik itu meningkat kepada 192 orang.
Jurucakap Hamas, Sami Abu Zuhri berkata, pihaknya sangsi dengan janji Mesir dan Israel untuk mengurangkan sekatan di sempadan memandangkan perkara itu merupakan sebahagian daripada perjanjian damai bagi menamatkan pertempuran pada 2012, yang tidak pernah dilaksanakan.
"Kami bukan sahaja mahu supaya serangan ini ditamatkan, tetapi juga ketidakadilan yang telah kami lalui sejak berpuluh-puluh tahun lalu.
"Isu ini bukan hanya tentang gencatan senjata. Perkara paling penting adalah bagaimana kestabilan serta hak rakyat Palestin dapat dikembalikan agar kami dapat hidup dalam keadaan normal," katanya.
Briged al-Qassam dalam laman webnya juga menyatakan, pihaknya akan meneruskan perjuangan mempertahankan penduduk Palestin sehingga objektif mereka tercapai.
Dalam reaksinya kepada perkara itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berikrar akan memperluaskan kempen ketenteraan terhadap Gaza jika Hamas terus menolak gencatan senjata.
"Sekiranya Hamas tidak menerima usul gencatan senjata, Israel dengan bidang kuasa yang ada tidak teragak-agak memperluaskan aktiviti ketenteraan di Gaza bagi mencapai matlamat kami," katanya.
Israel memulakan gencatan senjata sebelah pihak pada pukul 9 pagi ini waktu tempatan (2 petang waktu Malaysia).
Beberapa jam sebelum gencatan senjata dilaksanakan, sebanyak enam rakyat Palestin maut sebelum rejim Yahudi itu menerima cadangan gencatan senjata. - Reuters/AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140716/lu_04/Israel-cabuli-gencatan-senjata#ixzz37a6WGZeA
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment