Gaza: Kumpulan bersenjata Hamas semalam menolak pelan gencatan senjata Mesir untuk menamatkan sengketa dengan Israel tidak lama selepas Kabinet Israel menerimanya.
Sehubungan itu, seorang pegawai kanan Israel berkata, negara Yahudi itu akan melancarkan serangan lebih dahsyat jika Hamas terus menolak pelan gencatan senjata itu.
Israel melancarkan ratusan serangan udara terhadap sasaran di Gaza sepanjang minggu lalu menyebabkan 192 penduduk Palestin terbunuh, sebahagian besarnya orang awam.
Rejim Zionis itu turut menghimpunkan sejumlah besar tentera di sempadan wilayah Palestin berkenaan.
ANGGOTA tentera Zionis bersiap sedia dengan kereta perisai mereka di sempadan Semenanjung Gaza, semalam. |
KEPULAN asap memenuhi ruang angkasa Semenanjung Gaza selepas sebuah bangunan menjadi sasaran serangan tentera Israel, semalam. |
Pelan gencatan senjata Mesir itu yang dikemukakan lewat kelmarin, menggesa supaya dihentikan serangan, diikuti dengan rundingan untuk mengendurkan sekatan ke atas sempadan Gaza.
Jurucakap Hamas, Sami Abu Zuhri berkata, cadangan Mesir tidak boleh diterima.
Sayap bersenjata kumpulan pejuang Palestin itu, Izzedine al-Qassam dalam satu kenyataan berkata, cadangan Mesir itu hanya membuang masa.
“Mengarahkan negara yang diceroboh untuk menghentikan serangan dan berunding mengenai perjanjian yang tidak pernah dihormati Israel adalah sesuatu yang tidak masuk akal,” kata Sami Abu Zuhri. Pegawai Hamas tidak yakin Mesir dan Israel akan mengendurkan sekatan sempadan. Janji seumpama itu menjadi sebahagian daripada gencatan senjata yang menamatkan peperangan lebih seminggu pada 2012 tetapi tidak dilaksanakan Israel dan Mesir.
Pengenduran sekatan terhadap sempadan Gaza menjadi kunci utama terhadap survival Hamas.- AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/16
No comments:
Post a Comment