GENTING GAZA - PALESTIN. Tentera rejim Zionis melancarkan empat serangan udara di beberapa kawasan di Semenanjung Gaza, semalam sebagai respons terhadap kehilangan tiga remaja Israel sejak minggu lalu.

Bagaimanapun, pihak berkuasa Palestin mengesahkan tiada kematian dilaporkan dalam serangan itu.

Kelmarin, tentera Israel turut menahan 41 penduduk Palestin dalam serbuan yang dilakukan di Tebing Barat.

Beberapa pihak mendakwa operasi disertai kira-kira 1,000 askar rejim Zionis itu adalah sebahagian daripada rancangan jahat Israel untuk menghapuskan gerakan Hamas yang didakwa melakukan penculikan tersebut.

Susulan daripada itu, Hamas mengutuk keras tindakan  tersebut dan turut menggelar rejim Zionis sebagai pengecut kerana melanggar konvensyen antarabangsa.

Menurut Press TV, sehingga kini, lebih 150 penduduk Palestin diberkas tentera Israel selepas mereka mendakwa Hamas sebagai dalang penculikan ketiga-tiga remaja terbabit.