Wednesday, 18 June 2014

40 lagi anggota Hamas ditahan


Ramallah: Tentera Israel semalam menahan lebih 40 anggota Hamas dalam operasi mengesan tiga remaja yang didakwa diculik gerakan itu.

Rejim zionis menuduh Hamas bertanggungjawab terhadap penculikan tiga remaja yang juga pelajar sekolah menengah Yahudi di Tebing Barat Khamis lalu.

Hamas tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengaku atau menafikan dakwaan itu.

Sejak kehilangan tiga remaja berkenaan - Gil-Ad Shaer, 16 yang turut mempunyai kerakyatan Amerika Syarikat, Naftali Fraenkel, 16, dan Eyal Yifrah, 19 - Israel menjalankan operasi termasuk menggeledah kediaman dan memotong bekalan tenaga di Hebron dalam usaha menjejaki mangsa.

Anggota kanan Kabinet keselamatan perdana menteri Israel, Naftali Bennett berkata, rejim itu mahu semua ahli Hamas merasakan akibat buruk daripada ‘perbuatan’ mereka.

Menteri Penerangan Palestin menuduh Israel mengenakan hukuman menyeluruh ke atas seluruh wilayah negara itu.

“Semua penduduk dijadikan ‘tebusan’ kerakusan rejim Israel,” katanya.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan tentera Zionis, mereka sudah menahan 41 anggota Hamas menjadikan jumlah rakyat Palestin yang ditahan meningkat kepada 200 orang.

Mereka juga berkata operasi itu bermatlamat serampang dua mata - mengesan mangsa dan melemahkan Hamas.

Dalam pada itu, lima rakyat Palestin cedera selepas polis dan tentera Israel bom dan melepaskan tembakan peluru getah ke arah penduduk di bandar Janin.



- Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/18

No comments:

Post a Comment