Monday 26 May 2014

Pope Francis sokong negara Palestin


Pope Francis dan Mahmoud (kiri) memeriksa perbarisan kehormat tentera Palestin ketika melakukan lawatan ke Baitullaham di Tebing Barat, semalam. - AFP
BAITULLAHAM 25 Mei - Pemimpin Vatican, Pope Francis selamat tiba di bandar Baitullaham di Tebing Barat, hari ini dalam lawatan yang dilihat sebagai satu simbolik menyokong aspirasi rakyat Pa­lestin untuk mewujudkan negara sendiri.
Pemimpin Vatican sebelum ini sering mengunjungi Tebing Barat selepas pertama kali mendarat di Tel Aviv, Israel, namun bagi Pope Francis, beliau memilih untuk mendarat di Baitullaham dengan menaiki helikopter dari Jordan.
Pada hari kedua lawatannya ke Asia Barat itu, Pope Francis sempat mengadakan pertemuan dengan Pre­siden Palestin, Mahmoud Abbas.
Malah, dalam program rasmi Pope Francis itu, Vatican merujuk Abbas sebagai Presiden ‘negara Palestin’.
Pope Francis dijangka mengulangi pendirian Va­tican perlunya penyelesaian penubuhan dua negara dalam konflik Israel-Palestin, ketika mengadakan pertemuan dengan Abbas sebelum bertolak ke Israel.
Pope Francis memulakan lawatan tiga harinya ke Asia Barat dengan melawat Amman, Jordan dengan pemimpin itu merayu supaya perang saudara di Syria dihentikan dan mengecam penjualan senjata semasa lawatan penuh emosi ke khemah pelarian Syria dan Iraq di Jordan. - AP/AFP
Dalam perkembangan berasingan di Baitulmaqdis, polis menahan 26 pelampau Yahudi yang mengadakan bantahan di kawasan tanah suci di Gunung Zion di luar Old City yang akan dikunjungi Pope Francis.
Menurut jurucakap polis, penahanan itu dibuat beberapa jam sebelum ketibaan pemimpin Vatican tersebut di Baitulmaqdis.
‘‘Penunjuk perasaan di Makam Raja Daud melontar batu dan botol ke arah pasukan keselamatan dan mencederakan dua anggota polis,’’ kata jurucakap polis, Micky Rosenfeld merujuk kepada sebuah tapak yang dianggap suci oleh penganut Islam, Kristian dan Yahudi dengan Pope Francis dijadual menghadiri satu perhimpunan besar-besaran esok. - AGENSI/AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140526/lu_05/Pope-Francis-sokong-negara-Palestin#ixzz32lo1D2yb
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment