Tuesday 8 April 2014

Wakil Palestin, Israel berunding


Presiden Mahmoud Abbas mengadakan mesyuarat dengan pemimpin Palestin di Ramallah pada 1 April lalu. Wakil Palestin dan Israel menyambung semula perbincangan bagi menghidupkan rundingan damai antara kedua-dua pihak yang hampir gagal. - AGENSI
BAITULMAQDIS 7 April - Perunding Palestin dan Israel mengadakan pertemuan, di sini hari ini bagi menghidupkan semula rundingan damai yang dilihat hampir menemui kegagalan akibat perbezaan tuntutan antara kedua-dua pihak.
Seorang pegawai Palestin yang enggan dikenali mengesahkan tentang pertemuan itu yang diadakan pada lewat petang, namun kedua-dua pihak tidak memberikan butiran tentang masa atau lokasi rundingan.
Semalam, kedua-dua pihak mengadakan perbincangan yang turut dihadiri utusan khas Amerika Syarikat (AS), Martin Indyk, tetapi sumber Palestin memaklumkan bahawa sesi pertemuan tersebut berakhir tanpa persetujuan dan seorang pegawai Israel menyifatkan rundingan tersebut di ambang kegagalan.
Kedua-dua pihak saling bertelagah apabila Presiden Palestin Mahmoud Abbas bertegas mahu meneruskan usaha mengemukakan 15 permohonan antarabangsa bagi meraih pengiktirafan untuk menubuhkan sebuah negara yang berdaulat, manakala Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyifatkan tindakan tersebut boleh menggagalkan proses rundingan damai.
Bagaimanapun seorang pegawai Amerika Syarikat (AS) yang enggan dikenali berkata, rundingan Palestin-Israel yang berlangsung semalam membincangkan cara menyelesaikan krisis di rantau Asia Barat itu melalui rundingan damai.
"Pertemuan semalam sangat serius dan menunjukkan petanda positif, dan kedua-dua pihak meminta AS mengatur satu lagi perbincangan hari ini bagi meneruskan usaha mencapai rundingan damai," katanya.
Parlimen Israel, hari ini turut mengadakan sesi khas bagi membahaskan isu rundingan damai tersebut yang dikritik oleh kumpulan pembangkang terhadap cara kerajaan menangani perbincangan itu.
Dalam pada itu, seorang komentar akhbar Jerusalem Post, Tal Harris dalam tulisannya berkata, proses rundingan damai tersebut masih mempunyai peluang untuk direalisasikan.
Jelasnya, kumpulan pakar krisis perlu ditubuhkan bagi mengendalikan konflik berkenaan, terutamanya membabitkan isu pertikaian air dan tenaga, berbanding hanya memberi tumpuan kepada perbincangan bersifat politik yang menemukan jalan buntu,
"Setiausaha Negara AS, John Kerry perlu mendedahkan beberapa maklumat tentang proses rundingan itu, selain Netanyahu dan Abbas mesti bersemuka secara langsung dalam perbincangan tersebut.
"Proses diplomatik kadang-kala tidak sama seperti yang dirasai oleh golongan rakyat," katanya. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140408/lu_02/Wakil-Palestin-Israel-berunding#ixzz2yF0tHXQL
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment