Tel Aviv: Perdana Menteri Israel semalam mengarahkan menteri rejim berkenaan mengehadkan hubungan dengan rakan sejawatan mereka dari Palestin.
Langkah itu dibuat sehari selepas Setiausaha Negara Amerika Syarikat John Kerry yang melancarkan usaha menyambung semula rundingan damai Julai lalu selepas buntu selama hampir tiga tahun menyalahkan Israel kerana melengahkan proses damai itu apabila mengumumkan pembinaan penempatan baru Yahudi di tanah Palestin yang dijajahnya.
“Sebagai tindak balas terhadap tindakan Palestin melanggar komitmen mereka dalam rundingan damai, kerajaan Israel diarah mengurangkan hubungan dengan rakan sejawatan mereka dari Palestin,” kata seorang pegawai rejim itu.
Menteri Buruh Palestin Ahmad Majdalani berkata, langkah itu tidak mendatangkan sebarang kesan.
Satu sumber kerajaan Palestin berkata, Israel mungkin turut bertindak untuk menyekat wang cukai yang dikutip rejim itu bagi Pihak Berkuasa Palestin.
Seorang pegawai Israel mengesahkan rejim itu mempunyai rancangan menyekat sebahagian wang cukai yang dikutipnya setiap bulan sebagai tindak balas terhadap tindakan Palestin.
Ia menyifatkan wang itu yang sebahagiannya diserahkan kepada keluarga warga Palestin yang ditahan Israel setiap bulan oleh Pihak Berkuasa Palestin sebagai satu bentuk sokongan terhadap keganasan.
Kira-kira 5,000 warga Palestin ditahan di penjara di Israel.
Israel pernah menyekat pembayaran cukai itu pada 2012 kerana mahu menghukum warga Palestin kerana kejayaannya dalam kempen untuk mendapatkan status pemerhati di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Di mesyuarat menteri luar Arab di Kaherah, Presiden Palestin Mahmoud Abbas berkata, Israel bertanggungjawab sepenuhnya kerana menyebabkan rundingan damai yang diusahakan Amerika Syarikat itu buntu.
Rundingan berkenaan sepatutnya berakhir 29 April ini.
Ketua Liga Arab Nabil al-Arabi menuduh Israel sengaja melengah-lengahkan rundingan damai itu dengan tujuan untuk menggagalkannya.
Selasa lalu, Kerry berkata, tindakan Israel meluluskan penempatan Yahudi di timur Baitulmaqdis 1 April lalu mencetuskan krisis baru dalam rundingan itu, dakwaan yang mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan pegawai Israel.
Menurutnya, rancangan Israel menangguhkan pembebasan tahanan Palestin disabotaj dengan langkah pembinaan penempatan itu.
Kenyataan Kerry itu diselar Menteri Ekonomi Israel Naftali Bennett yang juga ketua parti pelampau Yahudi, Jewish Home.
“Israel tidak akan meminta maaf kerana membina penempatan Yahudi di Baitulmaqdis,” kata Bennett.- Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/11
No comments:
Post a Comment