Baitulmaqdis: Polis Israel menahan 16 rakyat Palestin semalam selepas bertempur dengan penunjuk perasaan di pekarangan Masjid Al-Aqsa.
“Pagi tadi (semalam), selepas ia dibuka untuk kunjungan, suspek membaling batu ke arah polis dan mencederakan dua anggota,” dakwa jurucakap polis, Micky Rosenfeld.
Dia juga mendakwa, penunjuk perasaan berlindung di dalam masjid, kawasan yang tidak boleh dimasuki polis selepas mereka cuba disuraikan dengan letupan bom oleh polis.
Polis dalam kenyataan mereka tidak lama selepas itu memberitahu 16 penunjuk perasaan ditahan.
Pekarangan Masjid Al-Aqsa yang turut menjadi kawasan suci penganut Yahudi dan masjid ketiga paling suci umat Islam sering menyaksikan beberapa insiden tegang dan rusuhan antara penunjuk perasaan dengan polis Zionis sejak beberapa minggu kebelakangan ini.
Ramai rakyat Palestin cedera dalam pertempuran Rabu lalu selepas pengunjung Yahudi dibenarkan masuk ke pekarangan masjid itu.
Rakyat Palestin sudah sekian lama bimbang Israel akan merampas masjid itu yang kini berada di bawah pengawasan Jordan sementara pelampau Yahudi mendesak rejim Israel menguasainya.
Orang bukan Islam dibenarkan mengunjungi kawasan itu tetapi penganut Yahudi dilarang berdoa di situ.
- AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/21
No comments:
Post a Comment