Thursday 10 April 2014

Israel punca rundingan Asia Barat buntu


Pembinaan penempatan haram Israel tetap dijalankan ketika rundingan antara Palestin-Israel sepatutnya dilangsungkan. - AFP
WASHINGTON 9 April - Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), John Kerry menyalahkan Israel atas tindakan rejim itu meluluskan pelan penempatan haram Yahudi, sekali gus menyulitkan peluang rundingan damai dengan Palestin yang masih menemukan jalan buntu.
Menurut Kerry, pelan kontroversi itu juga menyebabkan usaha membebaskan sejumlah tahanan Palestin di Israel terpaksa ditangguh.
“Kerajaan Israel mengumumkan pelan pembinaan kira-kira 700 unit penempatan haram di Baitulmaqdis ketika perbincangan antara kedua-dua pihak diadakan semalam, dan tindakan itu menjejaskan rundingan damai," katanya semasa mengadakan pertemuan dengan Jawatankuasa Hubungan Luar Senat.
Bulan lalu, rejim Zionis mengumumkan pembinaan penempatan haram di Tebing Barat ketika Washington berusaha mencari jalan bagi melanjutkan rundingan damai melebihi tarikh 29 April yang ditetapkan sebelum ini.
Dalam pada itu, Kerry turut membidas kenyataan Senator, John McCain yang mendakwa rundingan damai Palestin-Israel telah berakhir.
Menurut beliau, perbezaan pendapat antara kedua-dua pihak menjadi fokus utama dan AS akan berusia memastikan rundingan tersebut berjaya.
Wakil Palestin dan Israel dijadualkan bertemu semula pada Isnin depan selepas mengadakan perbincangan semalam yang masih menemukan jalan buntu.
Sementara itu, wakil perunding Palestin, Riyad Mansour meminta pihak antarabangsa memulaukan produk yang dihasilkan daripada penempatan haram Yahudi sebagai kempen membantu Palestin menjadi sebuah negara merdeka. - AFP/DPA/Agensi


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140410/lu_04/Israel-punca-rundingan-Asia-Barat-buntu#ixzz2ySAkjU5W
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment