Wednesday 9 April 2014

Israel enggan bebas tahanan


SEORANG lelaki Palestin melaungkan slogan mendesak pembebasan tahanan Palestin di penjara Israel ketika menyertai bantahan terhadap tindakan rejim Zionis memungkiri janji untuk membebaskan 104 tahanan terbabit. - Reuters
BAITULMAQDIS 8 April - Israel mengugut untuk tidak membebaskan 104 tahanan Palestin seperti yang dijanjikan sebelum ini sekiranya Palestin meneruskan usaha menyertai agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Menteri Luar Israel, Avigdor Lieberman turut menuduh Palestin melanggar perjanjian awal dalam rundingan damai yang diusahakan oleh Amerika Syarikat sebagai orang tengah.
Di bawah rundingan damai yang diperbaharui itu, Israel berjanji untuk membebaskan 104 tahanan Palestin melalui empat peringkat kumpulan dan Palestin juga akan menangguhkan kempen menubuhkan sebuah negara berdaulat.
Namun, perbincangan kedua-dua pihak tertangguh pada bulan lalu ekoran kegagalan Israel membebaskan tahanan Palestin mengikut waktu yang ditetapkan.
Ekoran itu, Palestin bertindak balas dengan menandatangani perjanjian menyertai 15 konvensyen antarabangsa, tindakan yang dituduh sebagai provokatif oleh rejim Zionis.
Malah Palestin dilapor bersedia memperhebatkan usaha mendapat pengiktirafan antarabangsa bagi menubuhkan sebuah negara merdeka jika rundingan damai menemukan kegagalan selepas tarikh akhir pada 29 April depan.
Sementara itu, kira-kira 300,000 penduduk Palestin yang menetap di kem Shuafat, timur Baitulmaqdis tidak mendapat bekalan air lebih sebulan dan terpaksa bergantung kepada kemudahan asas yang usang ekoran konflik antara kedua-dua negara yang masih belum menemukan jalan penyelesaian.
Penduduk Palestin terpaksa mengharungi kemelut tersebut ekoran tindakan rejim Zionis melarang pihak berkuasa Palestin membangunkan sistem air yang lebih baik atau mengakses kemudahan di dalam Baitulmaqdis yang dikuasai Israel.
Minggu lalu, Mahkamah Agung Israel mengarahkan pihak berkuasa rejim menyelesaikan masalah tersebut dalam tempoh 60 hari, namun tiada sebarang tindakan dilakukan untuk mengatasi krisis berkenaan. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140409/lu_04/Israel-enggan-bebas-tahanan#ixzz2yKtXUi9K
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment