Baitulmaqdis: Menteri Pertahanan Israel semalam berkata, rejim Zionis itu itu tidak boleh bergantung kepada Amerika Syarikat (AS) untuk menghentikan program nuklear Iran.
Moshe Yaalon berkata demikian ketika kuasa dunia bersiap sedia mengadakan rundingan baru dengan Iran berhubung program nuklear nya.
Barat berusaha menghentikan program nuklear Iran kerana bimbang ia digunakan untuk membina senjata atom.
Teheran bagaimanapun menyangkal dakwaan kononnya program nuklear itu bertujuan untuk kegunaan ketenteraan.
Ia sebaliknya mendakwa program itu bertujuan untuk kegunaan awam, khususnya membangunkan sistem jana kuasa.
Jika rundingan dengan kuasa dunia berjaya, pelbagai sekatan yang dikenakan terhadap Iran akan ditarik balik.
Israel bagaimanapun mengecam rundingan itu.
“Kami berpendapat Amerika Syarikat sepatutnya mengetuai kempen menentang program nuklear Iran.
“Jika kami terus mengharapkan orang lain melakukannya untuk kami, ia akan memakan masa.
“Kerana itu, kami berpendapat, Israel perlu bertindak sendiri dalam menangani program nuklear Iran,” kata Yaalon.
Pejabat menteri pertahanan Israel itu mengesahkan Yaalon berkata demikian tetapi enggan mengulas sama ada ia bermaksud Israel sudah bersedia untuk melancarkan serangan ke atas Iran.
Yaalon dalam kenyataannya itu juga mengecam pemimpin Barat dengan berkata mereka berusaha mengelakkan konfrontasi dengan Iran.
Dia turut mendakwa pengaruh Amerika Syarikat kini semakin terhakis di beberapa negara seperti Ukraine.
“Kelemahan bukan satu pilihan. Tiada yang dapat menggantikan AS sebagai polis duniaSaya berharap AS sedar hakikat itu,” katanya dalam satu kenyataan.
Ini bukan kali pertama Yaalon membuat kenyataan kontroversi yang ditujukan kepada AS.
Januari lalu dia menyifatkan Setiausaha Negara AS, John Kerry sebagai keterlaluan dalam usaha membawa keamanan di Asia Barat. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/19
No comments:
Post a Comment