Sunday 9 February 2014

Israel serbu Masjid al-Aqsa


Beberapa wanita Palestin membawa bendera Palestin ketika polis Israel menyerbu Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis, selepas solat Jumaat, kelmarin. - AFP
BAITULMAQDIS 8 Feb. - Satu pertempuran tercetus antara polis Israel dan penduduk Palestin di Masjid al-Aqsa selepas solat Jumaat, semalam.
Agensi berita Al-Jazeera melaporkan polis Israel menggempur kawasan masjid itu dan menggunakan bom tangan pegun ke atas penduduk Islam Palestin, yang kemudian bertindak balas membaling batu ke arah polis Israel.
Seorang penduduk Plestin dilaporkan cedera dalam kejadian itu.
Imam masjid, Mohamed Hussian mengutuk serangan di kawasan suci orang Islam itu yang turut dikenali sebagai Temple Mount oleh penganut Yahudi.
“Mereka jelas mencabul kehormatan Masjid al-Aqsa dan ini merupakan satu kesalahan dalam agama dan undang-undang antarabangsa.
“Kerajaan Israel bertanggungjawab dalam hal ini kerana mengarahkan polis mereka menyerbu ke dalam masjid secara ganas," katanya.
Jurucakap polis Israel, Micky Rosenfeld mendakwa polis bertindak selepas mereka dibaling dengan batu oleh penduduk Palestin.
“Selepas solat Jumaat, penduduk Palestin mula melontar batu ke arah polis yang berada di kawasan Mughrabi di luar masjid.
“Unit polis kemudian bertindak balas menggunakan bom tangan pegun dan memasuki kawasan masjid bagi menyuraikan perusuh," katanya.
Rosenfeld berkata, polis menahan tujuh penduduk yang terlibat dalam serangan itu.
Dalam perkembangan lain, tentera Israel menyuraikan bantahan penduduk Palestin di Lembah Jordan dekat Ramallah di Tebing Barat, yang bermula sejak seminggu lalu berikutan keengganan Israel mengeluarkan kawasan itu dalam perjanjian damai.
Menurut satu kenyataan, tentera, polis serta pengawal sempadan meminta kumpulan pembantah meninggalkan kawasan itu sebelum mengusir mereka dari kawasan itu.
Menurut salah seorang penunjuk perasaan, Diana al-Zeer, tentera Israel menggempur dan melemparkan bom tangan serta menggunakan kekerasan untuk mengeluarkan mereka dari kawasan tersebut. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140209/lu_02/Israel-serbu-Masjid-al-Aqsa#ixzz2smCB4zpr
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment