Wednesday, 8 January 2014

Anggota Fatah dalam buangan dibenar pulang ke Gaza


GAZA 7 Jan. - Kerajaan Hamas berkata, beratus-ratus anggota pergerakan Fatah yang hidup dalam buangan sejak perang dingin antara pergerakan Hamas dan Fatah pada 2007, kini dibenarkan pulang ke Genting Gaza sebagai satu daripada langkah mewujudkan perpaduan di Palestin.
Langkah itu juga dilihat sebagai satu isyarat perdamaian antara Hamas dan Fatah, memandangkan Gaza kini mengalami masalah ekonomi serta politik ekoran pemulauan oleh Mesir dan Israel.
Perdana Menteri Hamas, Ismail Haniyeh memberitahu satu sidang media, di sini semalam bahawa pihak berkuasa Genting Gaza akan membebaskan beberapa anggota Fatah yang ditahan dalam tempoh terdekat.
"Kerajaan sudah berjanji kepada rakyat untuk mewujudkan perpaduan antara Hamas dan Fatah.
"Mana-mana penduduk Gaza yang sebelum ini hidup dalam buangan kini boleh pulang semula ke kampung halaman mereka dan bersama keluarga," katanya.
Jurucakap Fatah, bagaimanapun menolak langkah itu yang disifatkan sebagai 'superfisial' dan menggesa Hamas melaksanakan perjanjian terdahulu berhubung isu perpaduan Palestin.
Pada 2011, pemimpin Hamas dan Fatah komited melaksanakan perjanjian perpaduan sebelum ia terbatal ekoran pertikaian berhubung perkongsian kuasa dan masalah strategi berkaitan konflik dengan Israel.
Ismail dalam pada itu menolak tuduhan Fatah bahawa kesemua anggotanya yang ditahan itu dijadikan sebagai tahanan politik.
"Semua anggota Fatah ditahan kerana melakukan kesalahan berkaitan 'politik dan keselamatan negara'," ujarnya.
Kumpulan hak asasi manusia sebelum ini mendakwa kedua-dua pergerakan itu melakukan penahanan anggota satu sama lain secara bersar-besaran, selain melakukan penyeksaan terhadap tahanan. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140108/lu_08/Anggota-Fatah-dalam-buangan-dibenar-pulang-ke-Gaza#ixzz2pnCtRoye
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment