KOTA BHARU 23 Dis. - Rakyat Malaysia diminta terus menghulurkan bantuan kepada penduduk Palestin yang kini mengalami musim sejuk luar biasa, sekali gus menambah kesengsaraan mereka yang ditindas rejim Zionis.
Presiden Cakna Palestin, Wan Mohd. Sharafi Wan Mustaffa berkata, keadaan di Palestin yang sudah sedia kritikal terutamanya sejak kejatuhan bekas Presiden Mesir, Dr. Mohamed Mursi, kini semakin teruk dengan bekalan elektrik sering terputus, kekurangan bahan mentah, bahan bakar kenderaan yang dicatu serta bekalan ubat-ubatan yang terhad.
Jelasnya, penduduk amat terdesak untuk mendapat bantuan masyarakat antarabangsa lebih-lebih lagi di musim sejuk ini yang suhunya menurun sehingga -5 darjah Celcius.
"Situasi musim sejuk kali amat luar biasa bersama hujan yang turun dengan lebat mengakibatkan kebanyakan kawasan di Gaza, Palestin mengalami banjir.
"Kebanyakan penduduk tinggal di dalam khemah tanpa alat pemanas, selimut, air panas dan bekalan makanan yang sedikit dan ribuan menumpang di bawah pokok zaitun kerana kem pelarian tidak lagi mampu menampung kemasukan pelarian di mana sebahagiannya rosak akibat dipukul ribut.
"Inilah masanya untuk rakyat Malaysia yang prihatin untuk menunjukkan kebersamaan kita dengan perjuangan dan penderitaan rakyat Palestin. Walaupun kita tidak merasai apa yang dialami oleh mereka, setidak-tidaknya bantuan kita dapat meredakan suasana yang dialami oleh mereka," katanya di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131223/dn_20/Rakyat-Palestin-sengsara-berdepan-musim-sejuk-luar-biasa#ixzz2oOY9w1LH
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment